Kejam, Lelaki Minta Baboon Berhenti ‘Merungut’ Ketika Dia Ketawa Sambil Menyeksanya

Pertubuhan Kebajikan Haiwan Liar Afrika Selatan menawarkan ganjaran sebanyak 550 Pound (RM 2962) kepada mana-mana pihak yang dapat menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya seorang pemburu haram yang didapati bersalah menyeksa seekor baboon.

Sebuah video yang tular menunjukkan pemburu haram berkenaan kelihatan ketawa dan mengarahkan haiwan malang tersebut ‘berhenti merungut’ ketika diseksanya.

Malah, pada satu ketika, pemburu haram berkenaan juga dilihat berjenaka dengan bertanya ”adakah itu menyakitkan” kepada baboon tersebut yang dilihat mengalami kecederaan luka dan berdarah pada bahagian kepala.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan punca haiwan berkenaan boleh tercedera serta lokasi rakaman berkenaan diambil dan nasib haiwan tersebut selepas rakaman berkenaan berakhir.

Namun, Pertubuhan Kebangsaan bagi Menghalang Layanan Keganasan Terhadap Binatang (NSPCA) mendakwa bahawa lelaki berkenaan didapati telah mengurung dan menyeksa baboon tersebut untuk tempoh yang lebih lama.

”Ia kelihatan seperti baboon itu cedera akibat menjadi mangsa pemburu haram. Dalam video ini, baboon itu masih hidup tetapi kelihatan sukar untuk bernafas,” kata pertubuhan itu.

NSPCA dalam kenyataan yang sama juga menegaskan pihaknya akan memastikan lelaki berkenaan ditahan pihak berkuasa dan menerima hukuman yang setimpal berdasarkan Akta Perlindungan Haiwan dan meminta orang ramai menularkan tawaran yang dibuat.

”Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang dana bagi meningkatkan jumlah ganjaran untuk menangkap lelaki ini. Pertolongan anda membantu kami memperjuangkan nasib haiwan-haiwan yang sering menjadi mangsa penderaan”

Sumber : Dailymail

Sumber : SiakapKeli