Menantu rentung selepas bakar ibu mentua

Lelaki yang rentung dalam kebakaran rumahnya semalam dipercayai bertindak menyimbah petrol dan membakar ibu mentuanya sebelum kediamannya di Taman Cegar, Simpang Ampat di sini, musnah terbakar.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Shafee Abdul Samad, berkata siasatan polis mendapati lelaki berusia 52 tahun itu bertindak sedemikian ketika dalam keadaan marah dan mabuk pada jam 6.19 petang semalam.
“Lelaki itu yang berada di tingkat atas rumah turun ke bawah dan telah memarahi serta memaki hamun isterinya yang berada sedang menonton televisyen di ruang tamu bersama anak perempuan dan ibu mentua suspek.
“Suspek telah keluar dari rumah dan pergi ke bahagian hadapan rumah serta mengambil satu botol yang mengandungi petrol sebelum masuk semula ke dalam kediamannya serta terus pergi ke arah ibu mentuanya dan menyimbah petrol ke badan wanita itu,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, petrol itu turut terkena baju, tangan dan kaki isterinya manakala lelaki berkenaan bertindak mengambil pemetik api dan menyalakan di sekeping kertas sebelum menghalakan ke arah ibu mentuanya.
Shafee berkata, api itu menyambar ibu mentua suspek, Aganasi Mary, 69, dan menyebabkan isteri suspek menjerit serta terus bertindak membawa wanita berkenaan ke dalam tandas bagi memadamkan api di badan mangsa.
Katanya, isteri lelaki itu terdengar bunyi letupan di bahagian ruang tamu dan ternampak asap penuh di dalam rumah mereka sebelum dia bertindak membawa ibu dan anak perempuannya keluar melalui pintu dapur.
“Ibu mentua suspek yang melecur 90 peratus telah dipindahkan dari Hospital Seberang Jaya ke Hospital Pulau Pinang kerana dalam keadaan kritikal,” katanya.

Beliau berkata, mayat lelaki itu ditemui pihak bomba dalam keadaan rentung dan terbaring di tingkat atas dan dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat.
Katanya , polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan. – Bernama

Sumber : TheReporter