PTPTN : Potongan RM40 Bagi Gaji RM2,000 Bermula Januari Ini

Potongan gaji ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gajinya mencecah RM2,000 sebulan akan berkuat kuasa Januari tahun  hadapan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata turut dilaksana mulai Januari depan adalah pengecualian bayaran balik pinjaman yang diberikan kepada peminjam daripada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) sekiranya mereka mendapat kelas pertama selepas menamatkan pengajian.

Katanya potongan pada kadar dua peratus atau RM40 bagi peminjam bergaji RM2,000 itu telah diputuskan Kabinet pada mesyuarat Jemaah Menteri 23 Nov lalu.

“Yang mampu kita lakukan buat masa ini ialah meletakkan RM2,000 sebagai threshold untuk permulaan pembayaran dan kemudiannya akan meningkat berdasarkan pendapatan (peminjam).

“Kabinet juga bersetuju bahawa dikecualikan pembayaran pinjaman bagi mereka yang mendapat first class honour (kepujian kelas pertama) daripada kumpulan M40, cadangan asalnya untuk kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40),” katanya kepada sumber di lobi Parlimen, hari ini.

Mengenai janji manifesto Pakatan Harapan untuk mereka yang bergaji RM4,000 ke atas diwajibkan membayar balik pinjaman, beliau berkata kerajaan akan berusaha untuk cuba menunaikannya selepas kewangan negara menjadi stabil.

Sumber : Bernama

Sumber : SiakapKeli