Acer Memperkenalkan Siri Komputer Dan Laptop Baru Untuk Kegunaan Pejabat Dan Rumah

Acer ialah sebuah jenama yang terkenal apabila bercakap mengenai komputer, laptop yang boleh digunakan oleh pelbagai jenis pengguna, termasuklah golongan gamer, mereka yang menjalankan tugasan di pejabat dan juga pengguna-pengguna biasa di rumah.

Hari ini, di acara Acer Evolution Next, Acer Malaysia memperkenalkan empat buah peranti komputer baru yang boleh digunakan untuk tugasan pejabat,dan juga kegunaan harian di rumah. Empat peranti ini ialah Acer Veriton Z4660G, Acer Veriton N4660G, Acer TravelMate X3310.

Acer Veriton Z4660G ialah sebuah komputer semua dalam satu (All-in-One) yang dikuasakan oleh CPU Intel Core i3+ dan i5+ generasi kelapan, dan hadir dengan storan SSD PCIE M.2 yang pantas dan paparan bersaiz 24 inci dengan resolusi Full HD (1920×1080) yang boleh dilihat pada sudut sebesar 178 darjah untuk warna dan ketajaman yang lebih jitu tidak kira dari mana ia dipandang.

Bagi pejabat ataupun rumah yang tidak mempunyai ruang yang begitu banyak, Acer Veriton N4660G ialah komputer padat yang hadir dengan komponen-komponen berkuasa yang membolehkan pengguna untuk melakukan semua tugasan-tugasan harian mereka tanpa sebarang masalah.

Dalam pada itu, rangka Acer Veriton N4660G ini boleh dibuka untuk menaiktarafkan komponen-komponen di dalamnya, seperti storan SSD ataupun memori jika anda inginkan prestasi yang lebih berkuasa.

Walaupun ia hadir dengan rekaan padat, Acer berkata bahawa komputer ini mampu menyokong sehingga tiga paparan skrin pada resolusi 4K tanpa sebarang masalah.

Jika anda sedang mencari sebuah laptop untuk tugasan di luar pejabat, Acer TravelMate X3310 mungkin untuk anda. Laptop dengan paparan bersaiz 13.3 inci ini dikuasakan oleh CPU Intel Core generasi kelapan, memori DDR4 sehingga 32GB dan storan SSD PCIE M.2 sebanyak 256GB.

Diantara ciri-ciri khas yang hadir pada laptop TravelMate X3310 ini termasuklah kebolehannya untuk menahan jatuh dari ketinggian 122cm, pensijilan daripada tentera Amerika Syarikat dan mempunyai ketahanan bateri selama 15 jam.

Menurut Acer Malaysia, kesemua peranti-peranti yang diumumkan ini sudahpun boleh dibeli melalui kedai atas talian Acer Malaysia, ataupun kedai-kedai komputer tempatan.

Tanda harga untuk peranti-peranti ini adalah seperti berikut:

  • Acer Veriton N4660 (Intel Core i3) – RM2899
  • Acer Veriton N4660 (Intel Core i5) – RM3399
  • Acer Veriton Z4660 (Intel Core i3) – RM2899
  • Acer Veriton Z4660 (Intel Core i5) – RM3199
  • Acer TravelMate X3310 – RM4099

Sumber : Amanz