TrendForce : Penghantaran Paparan Gaming Meningkat Dua Kali Ganda Pada Tahun 2018 – ASUS Jenama Paparan Paling Popular

Trend penggunaan paparan skrin khusus untuk tujuan gaming bukan sesuatu yang baru. Tidak kira jika anda seorang gamer konsol ataupun PC, banyak jenama di luar sana yang mempunyai solusi paparan khusus untuk anda.

TrendForce, sebuah syarikat penyelidik pemasaran teknologi melaporkan bahawa satu penyelidikan daripada WitsView telah menunjukkan bahawa pemasaran untuk paparan skrin gaming telah meningkat sebanyak dua kali pada tahun 2018 berbanding dengan tahun sebelumnya.

Ini dapat dilihat melalui peningkatan populariti tajuk-tajuk permainan penembak pertama seperti Overwatch, PUBG dan juga Fortnite yang mementingkan penggunaan paparan dengan kadar segar semula yang lebih tinggi daripada 60FPS.

Laporan tersebut turut menunjukkan jenama-jenama paparan yang paling popular di kalangan gamer. Di tempat pertama ialah ASUS, yang hadir dengan paparan 4K 144Hz yang pertama, Acer di tempat kedua dengan paparan yang banyak digunakan di acara-acara e-sukan di seluruh dunia, manakala AOC/Philips berada di tempat ketiga, merupakan jenama paparan pilihan pasaran China, APAC dan Eropah.

Apa yang menarik ialah peratusan paparan untuk penggunaan paparan melengkung sudahpun melangkaui 50 peratus berbanding dengan sebelum ini pada tahun 2018, dan menurut laporan WitsView, ini adalah kerana terdapat permintaan yang tinggi untuk paparan-paparan tersebut, terutamanya dari negara China.

Adakah anda salah seorang daripada mereka yang menggunakan paparan gaming untuk komputer mereka? Adakah anda berada di kumpulan GSYNC ataupun FreeSync?

Sumber : Amanz