Ibarat Pisang Goreng Panas, Semua Tiket Perlawanan Akhir 1 Piala AFF Suzuki 2018 Habis Terjual

Kehangatan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 semakin terasa apabila 80,000 keping tiket yang dijual secara dalam talian dan juga secara fizikal di kaunter tiket Stadium Nasional Bukit Jalil sudah habis terjual dalam masa yang sangat singkat.

Perkara ini disahkan sendiri menerusi laman rasmi Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dari awal lagi menjangkakan baki tiket yang dijual secara fizikal hari ini akan habis dijual. Penyokong Harimau Malaya sejak dari malam tadi yang sudah mula membanjiri perkarangan Stadium Bukit Jalil menyerbu kaunter tiket yang mula dibuka seawal 9.53 pagi tadi.

Walaupun harga tiket yang ditetapkan pada RM40 untuk tempat duduk terbuka dan RM50 untuk ‘Grandstand’ itu tidak menghalang penyokong Harimau Malaya memberikan sokongan padu buat pasukan negara dalam perlawanan akhir pertama ini.

FAM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyokong yang telah memberikan sambutan dan sokongan yang luar biasa bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir pertama yang dijadualkan bakal berlangsung pada 11 Disember 2018 (Selasa) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

FAM turut mengucapkan seribu kemaafan kepada yang gagal unuk mendapatkan tiket perlawanan akhir pertama kali ini. Mereka sudah cuba memberikan yang terbaik dan sudah pasti tidak dapat memenuhi permintaan dan hanya mampu menjual 80,000 keping sahaja berdasarkan kapasiti Stadium Bukit Jalil.

Pasukan Harimau Malaya berjaya melangkah ke perlawanan akhir selepas berjaya membenam juara bertahan Thailand di Stadium Nasional Rajamangala dan bakal membuat perhitungan semula dengan pasukan Vietnam yang menewaskan Malaysia di peringkat kumpulan.

Sumber: FAM

Sumber : SiakapKeli