Syarikat China Mendenda Pekerja Yang Membeli iPhone Bagi Menggalakkan Pembelian Peranti Tempatan

Perang perdagangan di antara China dan Amerika Syarikat semakin hangat dengan penahanan CFO Huawei di Kanada minggu lalu. Beliau dituduh terlibat dalam penjualan teknologi ke Iran yang disekat oleh PBB. Menurut laporan South China Morning Post, Menpad sebuah syarikat yang berpangkalan di Shenzen akan mendenda pekerja yang didapati menggunakan iPhone.

Denda yang dikenakan ialah sama dengan harga iPhone yang dibeli. Sebaliknya jika pekerja membeli peranti Huawei dan ZTE, Menpad akan membayar pekerja 15% nilai peranti yang dibeli. Mereka juga akan menghentikan pembelian peralatan pejabat, komputer dan kereta keluaran Amerika Syarikat.

Tindakan Menpad dilihat sebagai ingin membalas dendam ke atas Amerika Syarikat yang ingin mengenakan pelbagai tarif ke atas China dan syarikat dari negara tersebut pada waktu yang sama syarikat ini adalah pembekal panel LCD kepada Huawei.

Ini bukan kali pertama syarikat di China mengenakan tindakan ke atas pekerja yang membeli iPhone. Pada tahun 2016, syarikat Nanyang Yongkang Medicine Company memberikan amaran akan membuang pekerja yang membeli iPhone kerana ia tidak patriotik.

Sumber : Amanz