Amun-Ra: Dua Jasad Satu Identiti, Bertakhta Matahari

Pertempuran diantara Dewa Ra dan Dewa Apep terjadi di sebuah gunung bernama Bakhu (lokasi yang dipercayai terbenamnya matahari). Ketika pertempuran ini berlaku, Dewa Apep menyerupai dalam sosok seekor ular hitam yang besar dan Dewa Ra menyerupai sosok seekor kucing. Tetapi ada kisah lainnya yang dimana Dewa Amun menjaga alam dengan mengendarai kenderaan berupa matahari (atau matahari) dan melawan Dewa Apes di angkasa. Babak ini boleh dilihat di dalam filem God of Egypt (2016).

Kisah pertempuran ini menyamai kisah mitos pertempuran diantara Dewa Horus dan Dewa Seth.

Dalam gambar di atas menunjukkan pertempuran diantara Dewa Ra (Dewa Matahari) dengan musuh ketatnya, Dewa Apep (Dewa Kehancuran). Dewa Apep dibunuh ketikamana Dewa Ra menyerupai sebagai seekor kucing.

Jadi tidak anehlah, mengapa masyarakat Mesir Kuno terlalu mengagungkan dan mengangkat martabat kucing sebagai haiwan yang suci serta diharamkan untuk membunuhnya. Teringat pula peristiwa Perang Pelusium yang terjadi diantara pasukan Mesir pimpinan Firaun Psamtek III dan pasukan Parsi pimpinan Kisra Cambyses III.

(Bacaan untuk Perang Pelusium: https://www.thepatriots.asia/pertempuran-pelusium-kucing-berjaya-mengalahkan-firaun/)

Dua Jasad Jadi Satu

1. Mitologi Dewa Amun: Penjaga Thebes.

Pada permulaannya, Dewa Amun merupakan dewa sembahan penduduk tempatan yang mengawasi dan menjaga wilayah Thebes daripada ancaman kejahatan yang datang dari luar.

Dewa Amun dikenali juga sebagai Am, Amen, Amon, Amoun, Ammon dan Hammon. Ia memiliki pelbagai nama tetapi nama yang ditemui di Piramid Teks Saqqara adalah Amun yang dipahat dengan tulisan hieroglif yang diterjemahkan menjadi perkataan ‘jmn’¹. Namanya membawa maksud sebagai ‘The Hidden One’ atau ‘Invinsible’ ². Setiap dewa-dewi Mesir Kuno mempunyai unsur semulajadi yang dikuasainya atau unsur yang melambangkan kekuasaan ia, tetapi Dewa Amun merupakan dewa yang unik kerana ianya digambarkan sebagai sosok entiti yang tersembunyi dan tidak mewakili apa-apa pun unsur alam.

Dewa Amun didampingi oleh isterinya Dewi Amunet (Ibu Segala Dewa) dan anaknya, Dewa Khonsu (Penjaga Bulan).

Pada waktu ini (zaman Dinasti Pertama sampai ke Dinasti Ketujuhbelas) status Dewa Amun hanyalah sebagai dewa sembahan tempatan (termaktub di kawasan Thebes sahaja) dan bukannya dewa utama sembahan seluruh jajahan Kerajaan Mesir Kuno ³.

¹. Pahatan ini ditemui di dinding Piramid Saqqara. Hasil ujian radiokarbon mengenalpasti tarikh dipahatnya tulisan ini adalah sekitar 2400-2300 SM iaitu di masa pemerintahan Dinasti Kelima sehingga ke Dinasti Kelapan atau dalam bahasa mudahnya dari fasa Kerajaan Lama (Old Kingdom) ke Kerajaan Awal Pertengahan (First Intermediate Period).

Bacaan lanjutan untuk memahami Kerajaan dan Fasa dalam Sejarah Mesir Kuno: https://www.thepatriots.asia/senarai-nama-firaun-yang-memerintah-mesir-purba/

². Apabila ianya digambarkan sebagai Yang Tersembunyi, maka ianya memberi peluang kepada penyembahnya untuk menganggapnya terwujud dalam bentuk apa pun yang wujud di atas dunia ini bahkan dalam bentuk cahaya, kegelapan, air, api dan sebagainya.

³. Pada zaman awal pemerintahan, ibukota Kerajaan Mesir terletak di Memphis dan bukannya di Thebes. Thebes hanya menjadi ibukota ketika memasuki era pemerintahaan Dinasti Kelapanbelas dibawah pimpinan Firaun Ahmose I yang berjaya mengalahkan Dinasti Hyksos yang berpusat di Memphis.

2. Mitologi Dewa Ra:

Pada zaman Dinasti Pertama, status Dewa Ra (Dewa Matahari) merupakan dewa sembahan utama yang disembah oleh masyarakat Mesir Kuno. Didampingi oleh Dewa Montu (Dewa Perang) yang menolong Dewa Ra dalam menjaga kestabilan wilayah Thebes dan seluruh jajahan Mesir Kuno, kepopularitan mereka meningkat sehingga meletakkan status Dewa Amun sebagai dewa biasa sahaja. Dewa Ra dikatakan terlahir daripada titisan air ketika alam semesta/bumi diciptakan sehingga kekuasaannya tidak tertandingi oleh sesiapa pun.

Dewa Ra digambarkan sebagai dewa matahari yang menyerupai dirinya sebagai manusia berkepala helang, plat disk menyerupai matahari merupakan mahkotanya, menguasai bumi, langit dan dunia kematian. Sebenarnya Dewa Ra menyerupai dalam pelbagai bentuk haiwan, tetapi helang merupakan wujud aslinya.

Dewa Ra mempunyai beberapa orang isteri seperti Dewi Hathor, Dewi Bastet dan Dewi Sekhmet.

Anak-anaknya pula adalah kembar, Dewa Shu (Dewa Angin Kering dan Penguasa Langit) dan Dewi Tefnut (Dewi Kelembapan).

Amun-Ra: Simbol Persatuan Mesir Kali Kedua

3. Sejarah Penyatuan Amun-Ra.

Kerajaan Mesir pernah berpecah dua kali setelah penyatuan Raja Narmer iaitu pada zaman Awal Pertengahan (First Intermediate Period) dan pada zaman Kedua Pertengahan (Second Intermediate Period). Para sejarawan menggunakan istilah ‘intermediate’ di dalam pembelajaran Egyptologi kerana pada kedua zaman ini kerajaan Mesir berpecah-belah. Peristiwa dibawah terjadi pada zaman Kedua Pertengahan.

Pada akhir pemerintahan Dinasti Keenam Belas (1550 SM) di bawah pimpinan bangsa asing Hyksos dan Dinasti Ketujuhbelas pimpinan Putera Ahmose I, pasukan tentera dari kota Thebes maju dan menawan ibukota Memphis seterusnya menghalau bangsa Hyksos keluar daripada tanah Mesir.

Dengan kemenangan mutlak ini, maka Putera Ahmose I mengangkat kembali maruah bangsawan Mesir lalu baginda menyarung kembali Mahkota Ganda (double crown)⁴ seterusnya menabalkan dirinya sebagai Firaun Ahmose I dan pendiri Dinasti Kelapanbelas. Dengan berdirinya dinasti ini, maka Mesir mula memasuki fasa zaman keemasan (New Kingdom) dimana pada fasa ini Mesir diperintah oleh para firaun yang berkuasa seperti Firaun Tutakhamun, Nefertiti dan lain-lain.

Firaun Ahmose I yang bersyukur dengan kemenangan ini tidak terus melupakan dirinya lalu baginda membalas budi kepada penduduk Thebes yang bersamanya menentang Hyksos dengan menjadikan Thebes sebagai ibukota baharu Dinasti Kelapanbelas menggantikan kota Memphis. Dengan perpindahan pusat pemerintahan ini memberikan kelebihan kepada Firaun Ahmose I untuk menjaga kestabilan kerajaan baharunya kerana lokasi Thebes yang jauh dari jangkauan musuh yang boleh datang menyerang dari jalur Semenanjung Sinai. Kedudukan Memphis yang terancam dari pelbagai sudut, mengajar Firaun Ahmose I untuk tidak membuka kembali Memphis sebagai pusat pentadbiran sebaliknya lebih memilih Thebes kerana sebab yang telah disebutkan di atas dan mempersembahkan kemenangannya ini kepada Dewa Amun yang dipercayai menolongnya ketika berperang menghadapi pasukan bangsa Hyksos.

Atas persatuan kembali Mesir (Mesir Hulu dan Mesir Hilir) maka Firaun Ahmose I menyatukan Dewa Amun (dewa sembahan penduduk Thebes) dan Dewa Ra (dewa sembahan utama) di bawah satu nama yang kekal sehingga sekarang.

Dewa Amun-Ra.

Dewa Amun-Ra dikatakan mempunyai isteri bernama Dewi Mut (Dewi Thebes). Bukti kuat yang menunjukkan Dewa Amun-Ra dianggap sebagai dewa utama adalah dengan pembinaan Kuil Luxor dan Kuil Karnak khusus dibina oleh para firaun untuk menyembahnya.

Penyembahan kepada Dewa Amun-Ra tergendala sebentar ketika zaman pemerintahan Firaun Akhenaten. Firaun Akhenaten membuang segala keagungan dan penyembahan kepada Dewa Amun-Ra lalu baginda memerintahkan kepada rakyatnya untuk menyembah Dewa Aten (Dewa Matahari) yang tunggal dan tiada lainnya. Tetapi seruan Firaun Akhenaten dibantah oleh para pendeta dan wazir kerajaan lalu baginda bersama pengikutnya membina sebuah kota baharu jauh dari Thebes, iaitu kota El Amarna, kota khusus yang dibina untuk menyembah Dewa Aten. Tetapi setelah kematian Firaun Akhenaten, anaknya, Firaun Tutankhamun menghapuskan ajaran menyembah Dewa Aten lalu mengeluarkan perintah untuk menyembah Dewa Amun-Ra kembali. Setelah itulah, Dewa Amun-Ra kembali disucikan oleh masyarakat sehingga kesuciannya menjadikan agama menyembah dewa dewi ini menjadi subur lalu pengaruh sebahagian dewa dewi Mesir ini berkembang di negara asing, khususnya Dewa Amun-Ra.

Untuk bacaan lanjut mengenai Firaun Akhenaten:

https://www.thepatriots.asia/firaun-akhenaten-penyebar-agama-monotheism-di-mesir-purba/

https://www.thepatriots.asia/nabi-yusuf-firaun-akhenaten-al-malikul-misr-dan-al-aziz/

Kepopularitan Dewa Amun-Ra bukan sahaja berlaku di Mesir bahkan sosok mitos ini dijadikan sandaran (benchmark) oleh bangsa Yunani menciptakan Dewa Zeus dan bangsa Rom yang menciptakan Dewa Jupiter.

Penyembahan kepada Dewa Amun-Ra tidak berlangsung lama setelah Mesir ditaklukkan oleh empayar Rom dibawah pimpinan Kaisar Augustus (525 SM). Dengan penaklukan ini maka berakhirnya kegemilangan kerajaan Firaun Mesir yang berkuasa selama 3000 tahun lamanya.

Masyarakat Mesir mula memeluk agama Kristian pada sekitar tahun 40-60 Masihi sebelum Mesir menjadi negara berpenduduk majoriti beragama Islam setelah peristiwa pembukaan Mesir oleh panglima Amru al-As.

⁴. Double-crown atau Mahkota Ganda merupakan mahkota yang dipakai oleh para Firaun yang diakui sah sebagai pemilik kerajaan Mesir yang mana setiap orang yang diangkat menjadi Firaun mengaku sebagai titisan daripada Dewa Osiris dan Dewi Isis. Mahkota ini pada asalnya terbahagi kepada dua iaitu Mahkota Merah (Deshret) yang dipakai oleh pemerintah Mesir Hulu (Upper Egypt) dan Mahkota Putih (Hedjet) yang dipakai oleh pemerintah Mesir Hilir (Lower Egypt). Kedua buah simbol kekuatan sang raja ini digabungkan oleh Raja Narmer menjadi mahkota Pschent. Baginda juga diiktiraf sebagai pendiri kerajaan Mesir pertama, pendiri kerajaan pertama di dunia dan pemula fasa Kerajaan Awal (Early Dynastic Period) yang merangkumi Dinasti Pertama dan Dinasti Kedua.

Untuk bacaan lanjut mengenai Dewa Osiris dan Dewi Isis: https://www.thepatriots.asia/dewi-isis-air-matanya-membanjiri-sungai-nil/

Sumber rujukan:

1. Amun, Ancient History Encyclopedia oleh Joshua J.Mark.

2. Amun: King of Egyptian God, Ancient Egypt Online.

3. A Brief History of Egypt oleh Arthur Goldschmidt Jr.

4. The History of Ancient Egypt oleh Profesor Bob Brier.

5. A Short History of Egypt dikumpulkan dari kajian W.B Emery, Jean Vercoutter, J.H Breasted, Lord Kinross dan G.E Kirkk.

Sumber : ThePatriots