Pengasas Tegaskan Zumba Bukan Tarian Untuk Kurus, Cuma Untuk Berseronok

Pelbagai cara dilakukan oleh manusia untuk mendapatkan tubuh badan yang ideal, termasuklah menyertai kelas tarian Zumba, yang pernah menjadi trending termasuklah di Malaysia pada satu ketika.

Begitu pun, melalui penjelasan yang dibuat oleh pengasas tarian ini, Beto Perez, dia mendedahkan tarian zumba bukan direka untuk menurunkan berat badan pengamalnya, sebaliknya hanya sekadar satu senaman yang menyeronokkan.

Namun begitu katanya, tidak dapat dinafikan bahawa ada peserta yang mengaku berat badan mereka turun dan bagi Perez, itu hanyalah kesan sampingan daripada amalan tarian zumba.

Kata Perez, koreografi zumba berjaya mengaktifkan hormon endorfin, membuatkan pengamalnya berasa gembira. Perez bersyukur kerana hari ini orang ramai mempunyai pilihan senaman yang lebih menyeronokkan berbanding senaman lain yang agak membosankan.

Beto Perez

Tarian zumba terdiri daripada empat teras iaitu salsa, merengue, cumbia dan reggaetón, dengan setiap teras mengandungi 16 pergerakkan serta 25 variasi.

Dengan semua pergerakkan tersebut, hanya 30 peratus sahaja dikelaskan sebagai pergerakkan kecergasan.

”Falsafah zumba adalah muda, menyeronokkan dan efektif,” kata Perez yang menggambarkan bahawa zumba adalah senaman untuk semua.

”Kadang-kala di kelas, kami mempunyai peserta daripada 3 generasi. Anak, ibu dan nenek. Ssetengah selebriti juga menjadi peserta, seperti Shakira ketika hamil,” katanya lagi.

Begitupun, Perez mengingatkan peserta yang sedang hamil supaya mengelak daripada melakukan pergerakkan berat yang boleh membahayakan kandungan.

Sumber : The Jakarta Post

Sumber : SiakapKeli