Hexa Ialah Sebuah Lagi Kenderaan Terbang Peribadi Berkuasa Elektrik

Kita kini semakin hampir ke tahun 2020. Ketika Wawasan 2020 diumumkan oleh Tun Mahathir pada tahun 1991, ramai menjangkakan Malaysia akan menjadi negara maju pada tahun 2020 lengkap dengan kenderaan terbang. Berita baik ialah penggunaan kenderaan terbang kini bukan lagi fiksyen animasi The Jetsons tetapi semakin hampir menjadi realiti

Hexa ialah sebuah lagi kenderaan terbang peribadi yang dibangunkan oleh firma Lift Aircraft yang berasal dari Amerika Syarikat. Kenderaan terbang ini mempunyai rekaan seakan sebuah dron dengan 18 motor elektrik membekalkan tujahan untuk terbang. Sungguhpun begitu ia telah direka untuk terus terbang dengan 12 motor masih berfungsi.

Di dalam situasi apabila kesemua motor gagal berfungsi, sistem payung terjun kecemasan rekaan ParaZero digunakan. ParaZero boleh menyelamatkan penumpang sekiranya sistem gagal berfungsi pada ketinggian minimum 12 meter.

Hexa mampu terbang pada ketinggian maksimum 1200 kaki pada  kelajuan 101 km/j selama 15 minit. Lift Aircraft mensasarkan penggunaan Hexa sebagai kenderaan terbang peribadi bagi mereka yang ingin ke destinasi jarak dekat dengan pantas.

Mereka tidak bercadang untuk menjual Hexa tetapi sebaliknya menawarkannya sebagai teksi peribadi dengan bayaran $150 (~RM 627) sehala. Operasi disasarkan bermula pada tahun 2019 di 25 bandar utama Amerika Syarikat. Pada setiap lokasi 2-3 Hexa bersedia untuk menawarkan perkhidmatan mereka. Bayaran yang dikenakan mungkin kelihatan mahal bagi pengguna biasa tetapi lebih murah berbanding menyewa sebuah helikopter.

Sumber : Amanz