Letupan Bunga Api Punca Kebakaran Ragut Enam Nyawa Di Ipoh

Kebakaran yang mengorbankan enam individu di sebuah rumah kedai dua tingkat di Kawasan Perindustrian Puncak Jelapang Maju, Meru, dekat sini, semalam, dipercayai berpunca daripada letupan bunga api.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Perak, SAC Yahaya Abd Rahman, berkata, kesan dan sisa letupan bunga api itu boleh dilihat pada semua mayat yang melecur sehingga 90 peratus.

“Mayat kebanyakannya ada kesan belerang, kesan bahan letupan daripada bunga api yang menjadi punca letupan di tempat kejadian sehingga mangsa melecur di tubuh.

“Bagaimanapun, laporan penuh dijangka akan diterima dalam masa terdekat,” katanya kepada sumber di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, hari ini.

Tanpa mendedahkan identiti mangsa, Yahaya mengesahkan seorang daripada yang maut adalah pemilik premis, manakala lima lagi merupakan pekerja sambilan dengan empat daripadanya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Menglembu.

Difahamkan mereka yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada P.Thiagarajun, 40 yang dipercayai pemilik premis; Mohd Nor Aiman Abdul Rahman, 16, Mohamad Nor Ikram Mohd Husni, 15, Mohd Ikhmal Izzudin Mohd Kamari, 16, Ahmad Faizal Amiruddin, 16, dan Mohamad Azhar Shah Rosli, 19.

“Empat pelajar itu, (semalam) hari pertama kerja kerana hendak mencari wang saku sempena cuti sekolah, tapi tragedi berlaku, amat malang amat sedih,” kata Yahaya.

Menurutnya, bedah siasat ke atas keenam-enam mangsa yang bermula sejak pukul 9 pagi tadi telah selepas pada 3.30 petang ini, namun keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan mengambil masa.

Beliau berkata pihaknya mendapati terdapat kecuaian dan salah laku jenayah dalam insiden tersebut kerana premis yang terbakar tidak menjalankan perniagaan berkaitan dengan bahan letupan, namun terdapat sisa letupan seperti mercun dan bunga api di lokasi.

Justeru,  pihaknya akan memanggil pemilik sebuah premis yang menjalankan perniagaan bahan letupan seperti mercun dan bunga api di sebelah unit terbakar untuk memberi keterangan.

“Dia (pemilik) akan beri keterangan esok kepada polis…kita hendak tahu apa kaitan beliau dengan premis yang terbakar semalam,” katanya.

Sumber : Bernama

Sumber : SiakapKeli