MBO Melancarkan Samsung Onyx Hall – Dewan Panggung Wayang Dengan Skrin LED 4K HDR

Skrin jenis LED atau OLED adalah skrin yang mempunyai warna yang tajam, cerah, cantik dipandang dan apabila memainkan sesuatu kandungan – ia sangat mengasyikkan. Tambahan lagi, skrin jenis LED ini mempunyai warna hitam yang sangat gelap.

Hari ini, MBO di Atria Shopping Galery, Petaling Jaya telah dilancarkan. Apa yang menarik dengan panggung MBO di Atria Shopping Gallery ini, ia mempunyai banyak teknologi menarik dan lain daripada yang lain. Antaranya adalah pembayaran nirtunai, mesin air dengan lebih 50 pilihan air dan banyak lagi. Berikut adalah apa yang MBO tawarkan;

1. Samsung Onyx Hall.

Jika kebanyakan panggung wayang menggunakan pancaran dari projektor, panggung Samsung Onyx Hall ibarat satu televisyen LED sebesar skrin panggung wayang. Pasti ramai yang tertanya, bagaimana proses filem yang ditayangkan? Sama proses dengan panggung klasik, kandungan digital dalam pemproses akan terus ditayangkan ke skrin LED.

Jadi tidak akan ada pancaran cahaya terganggu di atas kepala penonton. Resolusi skrin Samsung Onyx Hall adalah 4K HDR, jadi pengalaman menonton sangat mengasyikkan. Sistem audio pula adalah jenis boleh laras mengikut jenis filem yang ditayangkan.

2. Kiosk Tiket Layan Diri

Kiosk tiket layan diri ini dibina dengan saiz yang sesuai untuk kedua-dua dewasa dan remaja. Skrinnya pula adalah skrin sesentuh dan mempunyai jarak skrin-ke-muka yang baik dan tidak terlampai cerah. Fokus kiosk ini adalah pembayaran nirtunai melalui kad kredit atau debit. Kelak di masa hadapan, kiosk ini turut akan menawarkan pembayaran menggunakan dompet digital.

3. Mesin Air Coca-Cola Freestyle

Mesin air ini adalah kedua dalam Malaysia dan pertama untuk MBO. Mesin air ini mempunyai lebih dari 50 pilihan air. Kesemua air ini adalah air daripada Coca-Cola. Terdapat 5 asas air dengan kategori yang berbeza, Kemudian setiap air akan mempunyai perasa berbeza seperti berasaskan ceri, laici, oren dan banyak lagi. Di MBO Atria ini pula adalah satu-satunya mesin air dengan pilihan air lebih 50, panggung lain yang menggunakan mesin sama mempunyai pilihan air yang terhad.

Contoh air yang saya pilih adalah A&W Sarsapilla + Ceri. Memilih setiap air adalah melalui skrin sesentuh. Kemudian mengikut trend menjaga alam sekitar, cawan air yang digunakan tiada straw, tetapi penutup yang digunakan mudah untuk diminum dan sukar untuk tertumpah.

4. Panggung Big Screen Dolby Atmos

Jika IMAX adalah antara skrin panggung wayang paling besar, MBO Big Screen adalah lebih besar jika dibandingkan dengan beberapa panggung IMAX lain. Anggaran besar skrin Big Screen ini adalah 4 tingkat. Selain daripada skrin yang besar, panggung ini menggunakan sistem audio Dolby Atmos dengan pengalaman audio 360 darjah.


Dengan penawaran pelbagai jenis teknologi dan penawaran baru MBO Atria ini, pasti akan ada yang tertanya –  berapakah harga tiket untuk panggung Samsung Onyx Hall dan Big Screen? Untuk Samsung Onyx Hall harga tiket adalah tambah RM3 dari biasa. Jadi jika tempat duduk VIP adalah RM15, Samsung Onyx Hall akan jadi RM18. Manakala tiket untuk Big Screen adalah tambah RM4.

Sumber : Amanz