TNB Akan Berkongsi Lanjut Perancangan Memasuki Perkhidmatan Jalur-Lebar Internet Pada Januari 2019

Tenaga Nasional Berhad sebelum ini telah pun memulakan ujian rintis untuk projek jalur-lebar mereka di Melaka, sekaligus memperlihatkan langkah pihak TNB dalam memasuki arena jalur-lebar yang didominasi oleh Telekom Malaysia.

Terkini, bercakap mengenainya, pihak TNB mengatakan mereka akan berkongsi lanjut berkenaan perancangan mereka memasuki perkhidmatan jalur-lebar pada Januari 2019 kelak.

Tenaga Nasional mempunyai liputan jaringan fiber optik sepanjang 12,000 kilometer di Semenanjung Malaysia, dimana melaluinya ia hanya sekadar digunakan untuk memantau jaringan elektrik mereka. Memandangkan ia tidak digunakan pada kapasiti penuh, maka ia turut membuka peluang untuk TNB turut menawarkan akses kepada jalur-lebar mereka bagi pengguna lain.

Melalui ujian yang pernah dipertontonkan sebelum ini, TNB memperlihatkan kelajuan muat-turun melalui penawaran mereka mencapai kelajuan 935Mbps dengan mudah.

Tenaga Nasional dijangka akan menawarkan infrastruktur, sekaligus membuka kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi menggunakan rangkaian mereka dan menawarkan harga yang berpatutan kepada pengguna.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan pengumuman pihak Tenaga Nasional pada bulan hadapan berkenaan perancangan mereka untuk penawaran perkhidmatan jalur-lebar tersendiri.

Sumber : Amanz