Razer Turret Baharu Dilancarkan Khusus Untuk Xbox One

Imej acah papan kekunci rasmi untuk Xbox One telah dikongsi beberapa hari yang lalu. Hari ini papan kekunci Razer Turret For Xbox One telah akhirnya dilancarkan secara rasmi. Seperti Turret asal yang dilancarkan dua tahun yang lalu, papan kekunci jenis lapboard ini mempunyai kawasan khas untuk sebuah tetikus.

Dari segi spesifikasi, papan kekunci ini menggunakan suis mekanikal dengan sokongan lampu RGB Razer Chroma. Ini boleh diselarikan dengan sistem lampu Xbox Dynamic Lighting. Tetikus yang disertakan pula mempunyai keperincian sehingga 16,000 DPI dan mengesan pergerakan 450 inci sesaat. Seperti papan kekunci, tetikus ini juga menyokong sistem lampu Razer Chroma. Bagi pengguna PC, papan kekunci ini juga boleh digunakan pada komputer biasa.

Bateri tetikus yang digunakan dapat bertahan sehingga 50 jam dengan lampu ditutup atau 30 jam dengan lampu diaktifkan. Papan kekunci pula bertahan selama 43 jam dengan lampu ditutup akan 11 jam dengan lampu diaktifkan. Pra-tempahan telah dibuka dan set Razer Turret For Xbox One ini dijual pada harga $250 (~RM 1046).

Sumber : Amanz