Xiaomi Melancarkan Penghawa Dingin Pintar – Mijia Smart Air Conditioner

Xiaomi kini semakin terkenal dengan produk-produk peranti berhubung yang sesuai untuk dijadikan sebahagian daripada rumah pintar. Baik dari kipas, periuk nasi, lampu, kamera litar tertutup, lampu pintar dan banyak lagi. Hari ini, Xiaomi dengan kerjasama Mijia – melancarkan penghawa dingin pintar.

Mijia Smart Air Conditioner adalah penghawa dingin tersebut. Disebabkan ia adalah pintar, penghawa dingin ini boleh dikawal dengan aplikasi Mijia atau melalui arahan suara Xiao Ai. Kemudian, penghawa dingin ini menggunakan algoritma khas untuk prestasi yang baik serta dibina khas untuk menjimatkan kuasa dan elektrik. Turut terbina di bahagian kiri bawah adalah skrin bulat LED untuk paparan suhu dan sebagainya. Menurut Xiaomi, kawalan suhu pada penghawa dingin ini adalah jitu dengan nilai kejituan 0.1 darjah Celsius.

Penghawa dingin ini turut boleh mengawal kelajuan angin, kawalan penyahlembapan, kawalan bunyi bising, kecerahan skrin LED dan banyak lagi. Untuk pembeli terawal, penghawa dingin ini dijual pada harga RMB2499 iaitu sekitar RM1515 sahaja.

Sumber : Amanz