343 Industries Dan Limbitless Solutions Bekerjasama Untuk Mencipta Lengan Prostetik Berdasarkan Permainan Video Halo

Anda mungkin mengenali 343 Industries sebagai sebuah syarikat pembangun permainan video yang terkenal untuk siri permainan video Halo, tetapi syarikat tersebut baru-baru ini telah mengumumkan sebuah kerjasama dengan Limbitless Solutions, sebuah syarikat yang dikenali untuk pembuatan anggota badan prostetik untuk sebuah projek baru yang agak menarik.

Kedua-dua syarikat ini mengumumkan kerjasama untuk membuat sebuah projek lengan prostetik yang hadir dengan rekaan exosuit watak utama di dalam permainan Halo, iaitu Master Chief.

Lengan prostetik ini dibina menggunakan pencetak 3D, dan walaupun ia akan hadir dengan rekaan yang keluar daripada dunia permainan komputer, lengan prostetik tersebut masih akan berfungsi seperti mana-mana lengan prostetik mereka, menggunakan sensor EMG untuk memegang dan mengangkat objek seperti lengan sebenar.

Lengan prostetik Halo ini akan mula dikeluarkan bermula tahun hadapan, dan akan hadir dengan dua rekaan berdasarkan sarung tangan Mark VI Master Chief, satu di dalam warna hijau asal, dan satu lagi dalam warna yang boleh diubahsuai mengikut warna yang dikehendaki.

Sama seperti projek-projek prostetik mereka yang lain, lengan prostetik Master Chief ini akan diberikan secara percuma kepada kanak-kanak yang memerlukannya di Amerika Syarikat.

Sumber : Amanz