(Video) ‘Ingat apa kau buat kat aku masa sekolah dulu?!’ – Lelaki tampar bekas gurunya kerana dendam dibuli dan dihina

Video seorang lelaki menampar bekas guru sekolah bertubi-tubi di tempat awam mencetuskan kontroversi di China, lapor Daily Mail

Lelaki berusia 32 tahun itu dikenali sebagai Chang, mendakwa dia dibuli oleh mangsa dalam kejadian 20 tahun lalu di sebuah sekolah menengah. 
Menurut Chang, dia menjadi berang selepas terserempak dengan guru berusia 50 tahun itu dan mengambil keputusan untuk menahannya di tepi jalan. Akibat tindakannya itu, Chang telah ditahan oleh pihak polis. 
Difahamkan kejadian itu berlaku sekitar bulan Jun lalu dan hanya viral di media sosial baru-baru ini. 
Berdasarkan video itu, Chang yang sedang marah menampar gurunya yang menunggang skuter, beberapa kali di muka sambil bertanya, “Kau ingat aku? Kau ingat apa yang kau buat kat aku masa kat sekolah?” 
Mangsa yang dikenali sebagai Zhang pula memohon maaf pada Chang. 
Video kejadian itu dirakam oleh rakan Chang itu viral di media sosial sejak Ahad lalu. Chang pula mendakwa dia tidak tahu bagaimana video itu boleh tersebar di media sosial. 
Menurut sebuah forum tempatan, Chang berkata dia menghormati semua guru-gurunya kecuali Zhang kerana lelaki itu pernah membuli dia di mana Chang dipaksa melakukan skuad di hadapan rakan sekelas sebelum ditendang beberapa kali di kepala. 
Chang juga mendakwa Zhang memandang rendah kepadanya kerana menyangka Chang berasal dari keluarga miskin. 
“Kau tanam benih kebencian dalam hati aku. Disebabkan tindakan kau yang melampau itu, aku tak boleh lupakan walaupun sudah 20 tahun berlalu,” tulis Chang. 

Chang mengakui keinginannya untuk membalas dendam semakin membara dari tahun demi tahun, terutamanya selepas anak perempuannya dilahirkan. 

Di media sosial, netizen mengkritik tindakan Chang yang ganas, namun ada juga segelintir netizen menyebelahi Chang dan berkata mangsa selayaknya diberi balasan seperti itu atas tindakannya membuli anak muridnya sendiri. Bekas rakan sekolah Chang turut menyokong dan mendedahkan sikap buruk guru terbabit. 
Polis sedang menjalankan siasatan selepas menerima laporan daripada mangsa yang menyedari video itu tersebar di media sosial. Chang ditahan oleh pihak polis di stesen kereta api di Hangzhou untuk membantu siasatan. 

Sumber : TheReporter