Xiaomi Play Dikatakan Akan Ditawarkan Dengan 10GB Internet Percuma Sebulan

Beberapa imej acah untuk Xiaomi Play telah dikongsi kepada umum. Yang pasti ia akan dilancarkan pada 24 Disember hadapan Ia disahkan mempunyai skrin bertakuk kecil, dwi-kamera utama pada posisi menegak seperti Mi 8 dan penawaran warna cerun. Tetapi di China ia mungkin hadir dengan tawaran menarik yang membuatkannya unik berbanding peranti pesaing.

Menurut laporan laman IT Home, Xiaomi Play akan menawarkan 10GB Internet percuma kepada pemilik setiap bulan selama setahun. Kuota Internet pantas ini diberikan pada kelajuan maksimum. Selepas pengguna menghabiskan kuota yang diberikan Internet tidak disekat sebaliknya hanya diperlahankan.

Penawaran unik ini besar kemungkinan akan diberikan menerusi sistem eSIM yang diperkenalkan oleh Xiaomi pada peranti mereka. Buat masa ini ia mungkin akan ditawarkan hanya di China. Sekiranya ia turut ditawarkan di Malaysia, adakah anda berminat dengan peranti ini?

Sumber : Amanz