Hampir Kumpul RM200 Juta, Tabung Harapan Ditutup 31 Disember Ini

Menjelang penutupan rasmi Tabung Harapan Malaysia (THM) yang berkuatkuasa pada 31 Disember 2018, kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, sumbangan tersebut adalah hasil daripada inisiatif orang perseorangan, organisasi, badan bukan kerajaan (NGO) serta faedah daripada pelaburan simpanan tetap yang diurus Jabatan Akauntan Negara.

Guan Eng berkata, jumlah terkumpul THM sehingga jam 9 pagi 23 Disember 2018 adalah sebanyak RM199,140,218.80.

“Semua pihak yang ingin membuat sumbangan diminta memasukkan wang atau cek secepat mungkin menjelang penutupan THM pada 31 Disember 2018.

“Potongan cukai akan diberikan kepada setiap sumbangan THM untuk 2019,” katanya.

Menteri itu berkata, kerajaan akan memastikan sumbangan yang diberi akan digunakan untuk melangsaikan hutang negara.

“Walaupun nilai hutang negara mencecah RM1 trilion, jauh lebih besar berbanding hasil kutipan THM, kerajaan sangat menghargai solidariti rakyat Malaysia dalam usaha menangani isu hutang negara ini dan berharap agar semangat ini tidak luntur dan dapat dikekalkan selama-lamanya,” katanya.

Jelasnya, kerajaan amat menghargai setiap sen yang didermakan yang menunjukkan rakyat amat prihatin dan bersatu hati dalam membantu kerajaan melangsaikan hutang negara.

Guan Eng berkata, semangat yang ditunjukkan itu adalah simbol taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia yang perlu dikekalkan.

Menurutnya, kerajaan juga turut merafak sembah dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di atas sumbangan baginda kepada THM.

Katanya, Jabatan Audit Negara akan mengaudit Penyata Penerimaan dan Bayaran Akaun THM bagi memastikan pengurusan THM dibuat secara teratur dan berintegriti.

“Pelantikan firma audit luar juga dibuat oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan mengaudit akaun THM. Langkah itu adalah selaras dengan Seksyen 7 Akta Audit 1957,” katanya. – BERNAMA

Sumber : SiakapKeli