Asal-Usul Boxing Day

26 Disember
merupakan satu tarikh yang mempunyai definisi berbeza-beza di sesetengah
tempat. Bagi negara-negara yang pernah dilanda tsunami tahun 2004, ia merupakan
satu peristiwa pahit yang membawa kepada babak baru di sesetengah negara
seperti pemeteraian perjanjian damai antara Gerakan Acheh Merdeka (GAM) dengan
kerajaan Indonesia. Bagi sesetengah negara-negara Commonwealth pula, ia
diraikan sebagai hari selepas Krismas atau Boxing Day dan sudah diisytiharkan
sebagai cuti umum di United Kingdom sejak tahun 1871.

Terdapat
pelbagai tradisi bagaimana 26 Disember digelar Boxing Day. Jika kita melihat
Kamus Bahasa Inggeris Oxford, nama berkenaan sudah muncul sejak tahun 1830-an,
jauh lebih awal sebelum ia dirujuk oleh penulis Charles Dickens sebagai Boxing
Day dalam karya ‘The Pickwick Papers’. Ia mendapat nama dari tradisi gereja
mengutip derma dalam kotak-kotak bagi membolehkan sumbangan diagihkan kepada
golongan fakir miskin selepas Hari Krismas semasa era Victoria. Hari tersebut
turut ada kaitan dengan tradisi khadam-khadam diberi hari cuti oleh majikan
mereka bagi membolehkan mereka bersama keluarga menyambut Krismas. Pada hari
tersebut, selain mendapat cuti, pekerja-pekerja ini turut mendapat sebuah kotak
mengandungi hadiah-hadiah atau bonus hari cuti.

Ada juga
mengatakan ia berkait dengan tradisi pelayaran kapal-kapal yang hendak
mengembara ke tempat yang jauh. Semasa hendak berlayar, krew akan mengunci
sebuah kotak yang mengandungi sejumlah wang di atas kapal sebagai tanda nasib
baik. Sekiranya pelayaran mereka berhasil dan memberi keuntungan, kotak
berkenaan akan diberi kepada gereja, dibuka pada Hari Krismas dan kandungannya
diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Sementara di
Ireland pula, ia digelar sebagai Hari St Stephen sempena nama seorang santo
yang direjam sampai mati kerana berpegang teguh kepada agama Nasrani. Pada hari
berkenaan, wujud satu tradisi satu masa dahulu yang dilakukan sekumpulan budak
dan remaja yang digelar ‘Wren Boys’. Mereka akan memakai pakaian yang cantik
dan keluar lalu merejam mana-mana burung ren yang dilihat mereka sampai mati.
Bangkai burung ini kemudiannya dikutip dan dibawa mengelilingi bandar di mana
mereka mengetuk pintu rumah penduduk dan meminta wang. Tradisi merejam batu ke
atas burung ren ini merupakan simbolisme kepada perlakuan jenayah yang membunuh
Santo Stephen. Hari ini, tradisi yang dianggap kejam terhadap haiwan berkenaan
sudah dihentikan. Walaupun mereka memakai pakaian cantik dan keluar seperti
tradisi sebelumnya, Wren Boys menukar tradisi itu kepada mengadakan perarakan
di jalanan dan mengutip wang untuk tujuan kebajikan.

Tradisi Boxing Day

1. Bagi
penyokong bola sepak terutama Liga Perdana Inggeris, ia merupakan satu keluarga
bola sepak yang popular semasa musim perayaan. Ia menggantikan permainan yang
dimainkan pada Hari Krismas yang dianggap tidak popular dan ditinggalkan sejak
tahun 1958. Bagi kelab-kelab terutama kelab-kelab kecil, ia amat membantu
menambah duit dalam kantung kewangan mereka lebih-lebih lagi jika ia
membabitkan perlawanan menentang musuh setempat atau membabitkan kelab-kelab
besar. Selain sukan bola sepak, sukan lumba kuda turut popular dalam kalangan
warga Commonwealth. Ada juga yang melihat ia sebagai peluang terbaik
memanifestasikan tradisi yang dianggap unik dan pelik seperti berenang di Selat
Inggeris yang sejuk atau aktiviti riadah atas nama kebajikan dan
kemasyarakatan.

Figure 1: Antara sukan pelik yang dianjurkan pada Boxing Day ialah sukan menggolek tong kayu

2. Sebelum
2004, aktiviti memburu musang merupakan antara elemen tradisional Boxing Day.
Tetapi selepas aktiviti memburu haiwan berkenaan dikenakan penggantungan pada
tahun berkenaan, peminat sukan memburu mengubahsuai sedikit tradisi tersebut.
Ya, mereka masih memakai jaket memburu warna merah dan bersedia memburu selepas
mendengar tiupan hon memburu. Memandangkan mengejar musang dengan anjing tidak
lai dibenarkan, mereka kini perlu mengikut jejak yang ditinggalkan secara
tiruan bagi meniru elemen kejar-mengejar antara anjing dengan musang.

Figure 2: Contoh aktiviti memburu musang pada Boxing Day di Cheswick pada tahun 1962.

3. Jika ada
melihat promosi beli-belah semasa melawat sesetengah negara Commonwealth,
nasihat saya jangan rambang mata. Bagi negara-negara seperti Australia, New
Zealand dan United Kingdom, ia merupakan antara tradisi percutian Krismas
dengan jualan selalunya bermula pada 26 Disember sehingga Tahun Baru. Walaupun
jualan pasca-Krismas hanya bermula pada 1 Januari, selalunya kegilaan dalam
tempoh sebegini dianjakkan dalam tempoh beberapa hari bagi memenuhi kehendak
pelanggan.

Figure 3: Contoh promosi beli-belah Boxing Day di Toronto

Bagi
pusat-pusat beli belah, ia merupakan antara cari bagi mereka menambah
keuntungan dan jualan lebih-lebih lagi selepas kemelesetan ekonomi yang melanda
akhir tahun 2007 dan tahun 2008. Ada sesetengah pusat beli-belah dibuka lebih
awal. Contohnya, pusat beli-belah Westfield dibuka pada pukul lima pagi pada
hari cuti dengan pencari tawaran hebat sudah beratur dari luar dari pukul dua
pagi lagi. Ada pula dikenali kerana mengadakan jualan murah pada Boxing Day di
mana pelanggan boleh membeli secara dalam talian dan premis fizikal seperti
syarikat Next.

SUMBER

1. Budd,
Alice dan McElwee, Molly. (2018). London Evening Standard. Why is Boxing Day
called Boxing Day? https://www.standard.co.uk/lifestyle/london-life/why-is-boxing-day-called-boxing-day-uk-traditions-christmas-bank-holiday-a4023036.html

2. Klein,
Christopher. (2016). History.com. Why is the day after Christmas called Boxing
Day? https://www.history.com/news/why-is-the-day-after-christmas-called-boxing-day

3. Lemm,
Elaine. (2018). TheSpruce.com. What Is Boxing Day and How Did It Get Its Name? https://www.thespruce.com/what-is-boxing-day-435060

Sumber : ThePatriots