Pemuras – Senjata Regalia Kesultanan Brunei Darussalam

APALAH
sahaja kepandaian orang Melayu jika hanya bertingkah dengan menggunakan keris
dan lembing. Dek kerana itulah kerajaan-kerajaan Melayu banyak yang jatuh ke
tangan orang-orang barat suatu ketika dahulu kerana begitu mudah untuk
dikalahkan.  Itulah antara penyataan yang
sering didodoikan kepada rakyat oleh mereka yang dangkal sejarah sebenar
kekuatan kerajaan-kerajaan Melayu dahulukala.

Berbicara
dari aspek senjata dunia Melayu sebenarnya telah melangkaui batas waktu kerana
kekuatan kerajaan-kerajaan Melayu yang telah hilang mahupun masih ada di bumi
nusantara telah banyak disembunyikan oleh sejarah.  Sejarah itu ditulis oleh orang yang menang
membuktikan sememangnya ada penulis-penulis yang sengaja memperkotak-katikkan
keupayaan orang Melayu dahulukala di dalam perang bagi menyembunyikan fakta dan
membesar-besarkan auta agar mengkagumi bangsa mereka. 

Mungkin
ramai yang diluar sana tidak mengetahui bahawa untuk satu kerajaan bergelar
Kerajaan Kesultanan Brunei yang lokasinya di pulau ketiga terbesar di dunia
iaitu Pulau Borneo mempunyai jenis-jenis senjata perang yang diiktiraf
dunia.  Malah di dalam sumber sejarah
dunia barat turut menyatakan dengan mengkhusus betapa hebatnya negara ini mampu
mengeluarkan jenis-jenis senjata seperti rentaka (meriam) dan pemuras (pistol)
biarpun hanya satu kerajaan melayu sahaja bukannya barat yang terkenal dengan
kecanggihan senjata mereka.

Pemuras
nama diberi adalah merujuk kepada satu senjata alam Melayu berbentuk pistol
yang mempunyai laras berkaliber pendek dan besar serta kembang di muncung.  Ianya digunakan dengan memasukkan peluru yang
diperbuat dari timah hitam.  Penggunaan
timah hitam bukanlah sesuatu yang pelik di alam Melayu kerana secara sejarahnya
bahan-baham mentah seperti timah itu merupakan antara hasil galian yang banyak
didapati di bumi Melayu suatu ketika dahulu biarpun perlombongannya adalah
secara tradisional. 

Jika
diikutkan dengan panjangnya yang mencecah 60 sentimeter atau sekitar dua kaki
maka pemuras adalah senjata mudahalih yang paling senang untuk dibawa sewaktu
berlakunya peperangan.  Malah turut
dinyatakan pemuras juga amat senang untuk diletakkan di bahagian sisi bahtera
perang kerana boleh dilaraskan ke atas dan ke bawah mengikut kesesuaian bidikan.  Namun sesuatu yang harus diambilkira,
kekuatan bidikan pemuras adalah untuk perang jarak dekat sahaja dan bukannya
seperti impak yang diberikan oleh satu meriam yang mana jarak lantunannya jauh
lebih panjang. 

Dan
berdasarkan keupayaan itu maka adalah tidak mustahil bagaimana suatu waktu dahulu
tentera-tentera kerajaan Brunei dikatakan antara yang paling hebat menggunakan
pemuras sewaktu bertempur.  Jika di dalam
Perang Naning iaitu satu peperangan yang antara penduduk Naning dibawah
kepimpinan Dol Said yang membantai tentera British pada tahun 1831, sejarahnya
turut mencatitkan bahawa bala tentera Dol Said pada masa itu turut menggunakan
pemuras sebagai senjata utama sehingga memaksa British sendiri terpaksa
berundur beberapa kali sehinggalah satu ketika mereka beroleh kemenangan
akhirnya. 

Itu
yang berlaku pada era kurun ke-19 masihi, sebaliknya jika kita menyelusuri
sejarah Kerajaan Brunei itu sendiri turut mencatatkan bahawa perang Kastila
iaitu perang antara Sepanyol dan Kerajaan Brunei yang berlaku pada tahun 1578,
pemuras  adalah senjata kekuatan bala
tentera Brunei yang terdiri daripada pelbagai kaum di dalamnya.  Bayangkan tidaklah semudah itu Brunei sebagai
satu kerajaan yang tersohor di Borneo begitu mudah untuk tunduk ke atas orang
Barat iaitu Sepanyol. 

Dari
hanya lontaran peluru meriam dari arah muara Brunei kemudian pihak tentera
Sepanyol mampu mendarat di tanah Brunei, bala tentera Brunei menunggu
kedatangan tentera Sepanyol dengan bidikan peluru timah hitam dari laras
pemuras iaitu perang jarak dekat. 
Mungkin kerana tidak menyangka kekuatan bala tentera Brunei pada waktu
itu makanya Sepanyol yang gah dengan kekuatan senjata moden mereka boleh mundur
dari medan perang.  Demi menyelamatkan
maruah mereka, makanya penulis sejarah sebelah Sepanyol memberikan alasan
bahawa tentera mereka berundur dek kerana serangan kolera sedangkan hakikatnya
kita tahu kenapa dan mengapa. 

Pemuras
adalah senjata yang begitu membanggakan hasil daripada produk alam Melayu dan
pembuat tersohornya adalah Negara Brunei Darussalam sejak dari dahulu lagi.  Jika Kerajaan Soviet Union meletakkan lambang
AK 47 (Avtomat Kalashnikova) di duit syiling negara mereka, negara Mozambique
pula gah dengan bendera negara dan bayangkan sebuah kerajaan Melayu di Borneo
mengangkat pemuras dan karga (beg mengisi peluru timah hitam) sebagai regalia
Kerajaan Kesultanan Brunei.  Antara
peralatan yang wajib ada ketika istiadat pertabalan dan apa jua yang berkaitan
dengan keluarga diraja Brunei sehingga sekarang. 

-HB- 

#kameksayangSarawakBah

Rujukan:
1. Pemuras
https://muhdhazrie.wordpress.com/2010/01/27/pemuras/

2. Perang Kastila 1578 – Brunei Vs Sepanyol (Borneo Oracle)

3. Alat Kebesaran Diraja Brunei

http://www.adat-istiadat.gov.bn/SitePages/Alat-Alat%20Kebesaran%20Diraja.aspx

Sumber : ThePatriots