Relevankah Pasifisme Dalam Konteks Pasca-Perang Pada Pandangan Liberal dan Realist?

Pasifisme sering
menjadi perbualan hangat dalam kalangan sarjana-sarjana dan murid-murid
Hubungan Antarabangsa. Satu hari dalam kelas Hubungan Antarabangsa kami,
beberapa orang murid telah mengutarakan pendapat dan hujah mereka bahawa
keamana sejagat atau World Peace
boleh dicapai dalam konteks pasca-perang ini. Saya, Mehmed, dan Panurut berasa
sangat skeptikal dengan dakwaan mereka, lalu telah berbincang tentang keamanan
sejagat dan Pasifisme.

Pasifisme
menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah “fahaman,
prinsip atau aliran yang menekankan bahawa sebarang bentuk keganasan atau
peperangan tidak wajar terjadi dan mestilah dielakkan melalui penyelesaian
secara aman
.”

Setelah lama
berbincang, kami bertiga berpendapat untuk menganalisa isu pasifisme dan
keamanan sejagat ini melalui kaca mata Liberal
dan Realist.

Falsafah Liberalisme boleh mencapai sebuah idea dunia
pasifis?

Ramai orang
mempunyai salah faham tentang Liberalisme. Mereka ingat Liberalisme hanya
sentuh perkara sosial saja atau ingat Liberalisme bermaksud “gaya hidup bebas”
dan “ketiadaan moral”. Memetik kata-kata Ayman Rashdan Wong tentang salah faham
falsafah politik liberal:

“Di Malaysia, liberal dijadikan sebagai label malah
carutan. Maksud liberal dah disamakan dengan “ketiadaan moral” atau “gaya hidup
bebas”. Tak puasa. Liberal. Tak berdoa sebelum naik kenderaan. Liberal. Minum
Starbucks pakai mafla spek hitam beg LV duduk dalam cuaca khatulistiwa.
Liberal.”

Ramai orang juga
ingat yang Hubungan Antarabangsa tidak ada konsep Liberalisme. Sebenarnya
liberalisme benar-benar wujud dalam politik antarabangsa.

Falsafah Politik
Liberalisme bermula seawal abad ke-17 semasa Zaman Kesedaran atau Enlightenment di mana para sarjana ingin
mencari jalan untuk mengalakkan dan memelihara kebebesan individual atau individual liberty sekaligus membaiki
keadaan manusia yang menyentuh aspek moral, emosi, konflik, keagamaan, dan
lain-lain.

Liberalisme mula
menjadi popular terutamanya selepas Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika
Syarikat pada abad ke-18 dan juga semasa Revolusi Industri. Malahan, sering
menjadi perbincangan dan topik perbahasan selepas Perang Dunia Pertama dan
Perang Dingin.

Sarjana-sarjana
liberalisme seperti Immanuel Kant meyokong sains dan kewarasan, mengutamakan global citizenship atau kerakyatan
global, dan mendakwa bahawa sistem demokrasi lebih baik dan aman berbanding
sistem autokrasi (Mansbach dan Taylor 2018: 13-14). Menariknya juga, Immanuel
Kant pernah mencadangkan sebuah organisasi atau sebuah Liga Keamanan yang
dianggatoi oleh pelbagai negara sama seperti PBB. Adam Smith, John Bright dan
Richard Cobden juga menyokong idea perdagangan bebas yang selari dengan idea global citizenship yang diutarakan oleh
Kant. John Stuart Mill mempercayai bahawa dengan adanya pendidikan, peperangan
boleh dielakkan atau ditamatkan dan secara langsung akan membawa dunia ke arah
keamanan sejagat.


Gambar 2: Potrait Immanuel Kant. Sumber gambar: https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Immanuel_Kant_3.jpg

Sarjana-sarjana
Liberal Barat mempercayai bahawa sejarah sedang maju ke arah memelihara dan
memperbaiki kehidupan individu dan misi atau visi ini seharusnya menjadi
kepetingan dan objektif utama umat manusia.

Adam Smith dan
Thomas Jefferson berpendapat bahawa jika kerajaan mengurangkan campur tangan
mereka dalam politik dan ekonomi, maka pasaran bebas atau free market boleh menjadi tangan halimunan yang boleh
mentransformasi ekonomi yang berkepentingan sendiri milik individu kepada
kebaikan sosial atau social good. Ini
merupakan ajaran Classical Liberalisme
seperti yang pernah ditulis oleh saudara Ayman.

Oleh kerana itu,
para sarjana liberal berpendapat bahawa politik antarabangsa boleh juga mencapai
objektif tersebut serta bebas daripada keganasan sekaligus dapat menjamin ketenteraman,
sekuriti, dan kemakmuran sejagat.

Liberalisme juga
ada mazhab-mazhab mereka sendiri termasuklah Classical Liberalisme, Modern Liberal, dan Neoliberal. Perkara tersebut juga tidak terkecuali dalam Hubungan
Antarabangsa kerana adanya non-interventionalist
liberalisme
, interventionalist
liberalisme, Neoliberal
dan lain-lain.

Ramai liberal di
Amerika Syarikat mempercayai dan menyokong non-interventionalist liberalisme
yang berpendapat bahawa kebaikan liberalisme yang menekankan kebebasan individu
dan lain-lain boleh disebarkan ke
seluruh dunia melalui contoh dan teladan sebuah negara.
Contohnya, Amerika
Syarikat sepatutnya tidak perlu mencari salah atau kelemahan negara-negara lain
tetapi membina sebuah “dunia baru” dalam negara mereka yang boleh jadi ikutan
negara-negara lain. Seperti Liberal Klasik, non-interventionalist
tidak suka dan tidak memahukan campur tangan negara ke atas negara-negara lain.
Oleh kerana itu, dengan memeluk polisi non-interventionalist
ini, sebuah negara akan mengelakkan konflik dan sebaliknya akan
menggalakkan teladan yang baik melalui tindakan. Mereka yang mempercayai
pasifisme mungkin akan bersetuju dengan idea ini malah mungkin akan
mengalakkannya bagi mencapai impian dunia pasifis.

Rejim Antarabangsa, Perdagangan,
dan konflik

Golongan Neoliberal pula
berpendapat bahawa kewujudan organisasi atau institusi antarabangsa membolehkan
kerjasama antarabangsa walaupun mereka tahu politik global bersifat anarki.
Neoliberal berpendapat bahawa organisasi atau rejim antarabangsa mengalakkan
negara-negara seluruh dunia untuk berkerjasama dan mengkordinasi interaksi dan
aktiviti mereka antara satu sama lain yang secara tidak langsung merangsangkan kepercayaan
terhadap satu sama lain.

Contoh rejim atau organisasi antarabangsa ini termasuklah United Nations, European Union, European
Central Bank, International Monetary Fund, World Bank, United Nations Security
Council,
United Nations Humans Rights
Council,
dan lain-lain. Rejim-rejim seperti ini penting kerana boleh menjadi the voice of reason di mana isu-isu
seperti perdagangan antarabangsa, pembasmian penyakit berbahaya, hak
kemanusiaan dan lain-lain ditadbir dan disuarakan di persada antarabangsa. Contohnya, Hinde and Rotblat (2003: 142) menyatakan
bahawa undang-undang antarabangsa sering dikuatkuasakan oleh PBB terutamanya
berkaitan konflik yang melibatkan negara-negara berdaulat. Lantaran itu,
justifikasi untuk melancarkan peperangan perlu ada izin United Nations Security Council (UNSC). Sesebuah negara tidak boleh
melancarkan kempen ketenteraan dengan alasan mengembalikan ketenteraman dan
keamanan tanpa izin UNSC. Malah, Konvesyen Geneva juga akan mengambil kira
bagaimana sesebuah peperangan dijalankan, seperti layanan terhadap orang awam
dan larangan pengunaan senjata-senjata kimia. 

Rejim-rejim antarabangsa ini membawa pelbagai kebaikan menurut Neoliberal
seperti mengawasi dan mengiktiraf perjanjian antarabangsa, mengiktiraf negara,
dan mengurangkan ketidakpastian dalam isu politik global melalui kerjasama
antarabangsa.

Masih keliru tentang
pandangan liberalisme terhadap ini?

Pada pandangan liberal, kerjasama antarabangsa di bawah pengawasan sebuah
rejim antarabangsa membolehkan interaksi dua hala dan membawa negara-negara
seluruh dunia ke arah berkegantungan antara satu sama lain. Kebergantungan ini
bermaksud negara perlu bergantung antara satu sama lain lain untuk perdagangan,
keselamatan, dan kemakmuran. Selain itu, melalui kerjasama, negara-negara di
bawah pengawasan sebuah rejim antarabangsa boleh mencari jalan untuk mencapai
objektif atau misi mereka bagi menjamin kepentingan negara mereka dan
kepentingan umat manusia. Oleh kerana itu, peperangan dan konflik wajar
dielakkan kerana fenomena seperti itu boleh mengakibatkan kerugian kepada
pelbagai pihak dari segi ekonomi, ketenteraan, dan politik.

Globalisasi contohnya, telah membolehkan firma atau syarikat multinasional
untuk ditubuhkan di beberapa negara. Jika tercetusnya sesebuah perang
antarabangsa atau perang saudara dalam sesebuah negara, firma-firma dan
syarikat-syarikat dalam negara-negara tersebut akan dijejaskan kerana
sektor-sektor pengeluaran dan pasaran juga akan dijejaskan akibat peperangan.
Ini secara tidak langsung juga akan menjejaskan ekonomi negara. Sesebuah firma
atau syarikat multinasional akan menyasarkan negara-negara yang stabil dari
segi sosio-politik untuk menjamin keuntungan. Golongan Neoliberal memanggil
teori ini sebagai Commercial Peace Theory
yang berhujah bahawa kebergantungan negara kepada ekonomi mengurangkan
kebarangkalian peperangan dengan mementingkan akan kepentingan atau nilai
perdagangan daripada peperangan.

Selain itu juga, golongan Neoliberal mengutarakan teori Democratic Peace Theory yang berhujah
bahawa negara-negara demokratik tidak akan berperang antara satu sama lain. Hal
ini demikian kerana negara-negara ini berkongsi ideologi dan pendapat sama,
oleh itu mereka tidak ada alasan yang bernas untuk berperang sesama sendiri dan
mempunyai lebih banyak manfaat jika bekerjasama.

Pendek kata, melalui kaca mata Liberal, negara-negara di seluruh dunia
boleh mengelakkan konflik dan mencapai keamanan sejagat melalui kerjasama di
bawah pengawasan sebuah rejim antarabangsa. Namun begitu, adakah liberalisme
benar-benar menjauhi konflik dan boleh mencapai dunia pasifis atau keamanan
sejagat?

Interventionalist Liberalism
dan Konflik

Kalau pemikiran Neoliberal dan non-interventionist liberalism dipakai mungkin keamanan sejagat boleh dicapai
tetapi ramai orang terlupa akan interventionist
liberalism.
Interventionist
liberalism
berlawan dengan non-interventionist
liberalism
, kerana berpendapat bahawa idea-idea liberal boleh disebarkan ke
seluruh dunia tetapi melalui campur tangan sebuah negara liberal. Campur tangan
yang dimaksudkan boleh dilakukan melalui pelbagai cara sama ada melalui
perundingan, teguran atau melalui paksaan
dan kuasa ketenteraan
juga.

Mansbach dan Taylor (2018: 14-15) berhujah bahawa paksaan dan kuasa
ketenteraan dijustifikasikan oleh liberal kerana sejarah telah membuktikan
bahawa tindakan tersebut amat diperlukan untuk memperbetulkan apa yang liberal
anggap salah. Contohnya, Revolusi Perancis selepas tahun 1789 di mana para
pejuang revolusi mahu menyebarkan liberalisme ke seluruh Eropah atau
sebagaimana Presiden Woodrow Wilson telah menjustifikasi tindakan Amerika
Syarikat menyertai Perang Dunia Pertama dengan alasan untuk menamatkan perang
kepada segala peperangan. Malah, tindakan Presiden George W. Bush menghantar
tentera ke Iraq dan Afghanistan untuk menghalang kemaraan terrorisme sekaligus
menyebarkan demokrasi juga boleh dianggap sebagai interventionist liberalism.

Gambar 3: Potrait Presiden Woodrow Wilson. Sumber gambar: https://commons.wikimedia.org/wiki/File:President_Woodrow_Wilson_portrait_December_2_1912.jpg

Maka dapat disimpulkan bahawa walaupun liberalisme menekankan kerjasama
antarabangsa bagi mengalakkan kepercayaan terhadap satu lain sekaligus
mengelakkan konflik dan peperangan, liberalisme juga boleh mencetuskan konflik
seperti yang dilihat oleh negara-negara interventionist
liberalism.

Realist dan pandangan
pesimis

Lawan kepada Liberalisme adalah Realisme, yang merupakan sebuah ideologi di
mana para sarjana Hubungan Antarabangsa mempunyai pandangan pesimis terhadap
dunia kita dan berpendapat bahawa struktur
politik di luar sesebuah negara sentiasa bersifat anarki.  Bagi mereka, tidak ada entiti atau kuasa
besar yang mengawal dan mengawasi tingkah laku negara-negara di seluruh dunia,
oleh itu Realist berpendapat dunia ini bersifat anarki.
 Realist mengkiritk Liberal dengan memanggil
mereka sebagai idealists, optimists atau
utopians (Lieber 2009: 1). Morgenthau contohnya mengkritik golongan
idealists dan utopians ini kerana mereka gagal memahami dan mengambil kira aspek
kuasa (Mansbach dan Taylor 2018: 11).

Gambar 4: Hans Morgenthau. Gambar diambil oleh Ralph Morse pada tahun 1963. Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Hans_Morgenthau#/media/File:Hans_Morgenthau.jpg

Mapel (1996) menambah dan berkata Realist
juga mengkritik Pacisifsts kerana
tindakan mereka menolak peperangan merupakan tindakan kurang bijak yang tidak
bermoral juga. Memetik kata-kata beliau:

“Other realist think that
the pacifist rejection of war is not only imprudent but immoral as well, since
these realists think that the distinction that common morality draws between
doing and allowing harm cannot be sustained. Pacisfism, should be morally condemned because in refusing to use force
to prevent the ruin of some, it allows the ruin of all.
– (Mapel 1996:
57).

Tradisi atau pemikiran Realisme telah bermula seawal zaman China purba dan
Yunani purba (Mansbach dan Taylor 2018: 10). Namun, amat popular dan dihidupkan
semula dalam buku The Prince yang
ditulis oleh Niccolo Machiavelli pada abad ke-16 dan juga dibahaskan dan
dibicarakan oleh para sarjana seperti Thomas Hobbes, Hans J. Morgenthau, dan
E.H. Carr.

Walaupun, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) wujud, Realist masih berasa entiti seperti PBB tidak mampu menghalang
konflik atau konfrontasi skala besar seperti yang telah dibukitkan oleh Liga
Bangsa semasa Perang Dunia Kedua dan PBB semasa Perang Dingin. Tambahan pula, walaupun
PBB telah bersidang berpuluh kali pun, konflik-konflik dunia seperti Perang
saudara Syria, Isu pelarian Rohingya, Perang Dingin di Timur Tengah, dan
lain-lain isu lagi masih tidak dapat ditamatkan oleh PBB. Tambahan pula,
walaupun undang-undang antarabangsa dikuatkuasakan oleh PBB, perang-perang
proksi yang dilakukan oleh Rusia, Amerika Syarikat, dan lain-lain tidak dapat
dihentikan dengan berjayanya oleh PBB sehingga kini. Malah, tindakan Amerika
Syarikat melanggar Iraq pada tahun 2003 tidak dizinkan oleh PBB dan
sekutu-sekutu Amerika Syarikat sendiri, namun Amerika Syarikat tetap meneruskan
kempen mereka itu.

Gambar 5: Potrait Presiden George W. Bush. Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/File:George-W-Bush.jpeg

Oleh kerana itu, Realist berpandangan bahawa sistem atau keadaan di luar sesebuah negara adalah bersifat anarki dan seorang pemimpin haruslah meletakkan keselamatan dan kepentingan negaranya sebagai keutamaan. Cara seorang pemimpin menjamin keselamatan dan kepentingan negaranya boleh dilakukan melalui pelbagai cara, malah jika ia bermaksud pemimpin tersebut perlu membunuh, mencuri, menipu, dan lain-lain ia tetap dihalalkan dan dijustifikasikan oleh sarjana-sarjana Realist demi menjamin keselamatan dan kepentingan negara.

Oleh kerana hal demikian, falsafah Realism
ini boleh disimpulkan sebagai satu pandangan pesimis tetapi realistik dalam
sesetengah situasi yang boleh diaplikasikan dan diperhatikan dalam isu-isu
global.

“Sifat manusia yang
mencetuskan konflik.” – Classical Realist

Dalam aliran pemikiran Classical
Realism,
para sarjana berpendapat bahawa kelemahan manusia itulah yang
mencetuskan keinginan para pemimpin untuk menjadi gila kuasa, seterusnya
mencetuskan konflik.  

Memetik kata-kata Machiavelli tentang kelemahan sifat manusia:

“Upon this a question
arises: whether it be better to be loved than feared or feared than loved? It
may be answered that one should wish to be both, but, because it is difficult
to unite them in one person, is much safer to be feared than loved, when, of
the two, either must be dispensed with. Because
this is to be asserted in general of men, that they are ungrateful, fickle,
false, cowardly, covetous,
and as long as you succeed, they are yours
entirely; they will offer you their blood, property, life and children, as is
said above, when the need is far distant; but when it approaches, they turn
against you.”
-(Machiavelli, dipetik Marriott
2014: 17).

Dalam konteks peperangan atau konflik yang berlaku di
Yugoslavia dan Rwanda, Hinde dan Rotblat (2003: 104-5) mendapati bahawa
kedua-dua kepimpinan politik dalam scenario-scenario tersebut menjustifikan
peperangan kemudian genosid dengan alasan perbezaan kebudayaan dan menjamin
keselamatan negara, tetapi sebenarnya motif sebenar mereka adalah untuk
meluaskan kawasan mereka melalui kekejaman dan keganasan.

Bagi Machiavelli yang dikategorikan oleh para sarjana sebagai seorang Classical Realist, beliau berpendapat
bahawa seseorang pemimpin mestilah obsess dan sentiasa memirkan akan kuasa demi
menjamin keselamatan rakyat jelatanya (Mansbach dan Taylor 2018: 10).

Para sarjana Realist berpendapat bahawa watak-watak dalam politik global
mestilah sibuk atau mencari jalan untuk mendapatkan kuasa. Selain itu, mereka
haruslah peka terhadap watak-watak lain yang sedang mengejar kuasa kerana jika
dicapai, mungkin watak tersebut boleh mengancam keselamatan dan survival negara-negara watak lain. Mansbach
dan Taylor (2018) berhujah bahawa seorang pemimpin mestilah memikirkan dan hanya mempedulikan akan negaranya sahaja. Pendek
kata, politik global pada pandangan realisit menekankan idea state-centricism yang berpendapat bahawa
politik global ditentukan oleh tindakan negara-negara serata dua yang bersaing
antara satu sama lain untuk mendapatkan kuasa serta menjamin kepentingan dan
keselamatan negara mereka.

“Bukan sifat manusia yang
cetuskan konflik tetapi struktur di luar negara yang bersifat anarki yang
mencetuskannya.” – Neorealist

Realisme pun ada cabang-cabang pemikirannya, dalam Realisme ada Classical Realisme dan Neorealist atau Structural Realist. Pemikiran Neorealist
mencabar dan mengkritik Classical
Realism.
Neorealist berkata yang konflik tercetus bukan sebab kerana sifat
manusia, tetapi kerana keadaan anarki yang wujud di luar sesebuah negara.
Sarjana-sarjana Neorealist di Amerika mendakwa bahawa Neorealisme merupakan
hujah yang lebih saintifik berbanding Realisme Klasik; lebih tepat dalam
pemikiran sains sosial dan pendekatan yang lebih baik untuk memahami Hubungan
Antarabangsa (Forde 1995: 141). Antara pemikir Neorealist yang tersohor
termasuklah Kenneth Waltz dan John Mearsheimer.

Struktur politik global menurut pemikir-pemikir Neorealist adalah bersifat
anarki. Analogi yang mudah digunakan ialah firma-firma ekonomi (negara) perlu
bersaing dan hidup dalam pasaran bebas. Firma-firma ini perlu bersaing untuk
mendapatkan keuntungan atau duit (kepentingan dan keselamatan). Dalam keadaan
anarki, firma-firma ini tidak boleh mempercayai antara satu sama lain dan
akibatnya, wujudnya self-help system di
mana negara-negara seluruh dunia tidak ada sesiapa untuk bergantung kepada dan
perlu menyediakan sekuriti untuk diri mereka sendiri. Bagi Neorealist, tidak
dinafikan para pemimpin mencari kuasa tetapi ianya demi keselamatan dan survival negara-negara mereka bukannya
untuk memuaskan nafsu mereka.

Disebabkan struktur politik global sering berada dalam keadaan anarki, negara-negara
seluruh dunia harus bersedia dan meningkatkan keselamatan mereka walaupun
terdapat negara-negara lain di luar sana yang berkongsi kepentingan sama dengan
negara tersebut. Akibatnya, akan wujudnya fenomena security dilemma (Mansbach dan Taylor 2018: 12). 

Security dilemma atau Dilema
Sekuriti
wujud apabila tindakan sesebuah negara yang sedang meningkatkan
sekuriti dan keselamatannya akan menakutkan negara-negara lain. Akibatnya,
negara-negara yang takut ini akan mencari atau membentuk perikatan dengan negara-negara
lain untuk mengukuhkan keselamatan dan sekuriti negara mereka.

Tindakan Amerika Syarikat melanggar Iraq pada tahun 2003 pada pandangan
neorealist adalah kerana dilema ini. Khabar angin atau informasi tentang
pemilikan nuklear oleh Iraq yang boleh mencabar dan mengancam sekutu-sekutu AS
atau AS sendiri telah mengakibatkan kerajaan Amerika melanggar Iraq demi
menjamin sekuriti atau keselamatan mereka dan sekutu-sekutu mereka.

Realisme, Liberalisme dan Perspektif
Negara Matahari Terbit Terhadap Konflik Pertahanan

Gambar 6: Keadaan Hiroshima selepas dibom.

Setelah Amerika Syarikat mejatuhkan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki, Jepun kemudian mengambil keputusan untuk menyerah kalah pada 2 September 1945. Deklarasi menyerah kalah itu telah ditandatangani secara rasmi diantara Menteri Luar Negeri Jepun ketika itu, Mamoru Shigemitsu dan Jeneral Richard K. Sutherland di atas dek kapal perang, USS Missouri. Di sini bermulanya pendudukan Tentera Bersekutu ke atas Jepun selepas perjanjian menyerah kalah dimeterai. Semasa fasa pertama pendudukan, Panglima Tertinggi Tentera Bersekutu dan Ahli perundangan perlembagaan berpendapat bahawa Jepun tidak akan mempunyai pasukan tenteranya yang tersendiri. Kelahiran Perlembagaan Artikel 9 telah melarang Jepun daripada mengekalkan potensinya untuk melibatkan diri dalam sesebuah peperangan. Walau bagaimanapun, Amerika Syarikat telah bersetuju untuk berkongsi beban yang dimiliki Jepun dari sudut pertahanan, dan berusaha untuk mengekalkan keselamatan Jepun demi menjaga keamanan antarabangsa.

Tindakan Amerika Syarikat mengambil tindakan itu, dari perspektif
liberalisme boleh menjamin kerjasama antarabangsa sekaligus menghalang konflik
tercetus antara Jepun dan Amerika Syarikat. Manakala dari perspektif Realisme,
terutamanya Neorealisme, Amerika
Syarikat dan Jepun perlu berkerjasama untuk meningkatkan sekuriti dan
keselamatan mereka di Asia kerana mereka sedar struktur di luar negara-negara
mereka bersifat anarki. Walau bagaimanapun,
wujudnya security dilemma kerana
tindakan mungkin mereka telah menakutkan Korea Utara dan China yang mengakibatkan
kedua-dua negara tersebut meningkatkan kuasa ketenteraan mereka untuk menjamin
keselamatan, sekuriti, dan kepentingan mereka juga.

Di sini juga bermulanya kesangsian dan dilema Tentera Berikat jikalau Jepun
bakal bangkit semula dari abu bak seekor burung phoenix. Maka, bermulanya draf
bagi Artikel 9 yang memacu negara Jepun ke arah pendekatan ‘pacifism’ – sesuatu solusi bagi
menyelesaikan konflik tanpa pengunaan kuasa ketenteraan. Dengan mengekalkan
konsep keamanan sejagat (global peace),
Jepun tidak boleh memiliki sebarang kuasa ketenteraan untuk melakukan ofensif
tetapi ianya bersifat lebih ke arah defensif (self-defence).  

Terdapat dua kumpulan yang lahir daripada pelaksanaan Artikel 9 ini –
mereka yang menyokong dan juga yang membantah. Jika dilihat dengan keadaan isu
global sekarang, konflik seringkali berlaku di mana-mana tempat di muka bumi
ini. Kehilangan untuk mempertahankan diri yang juga dikawal secara bersama
boleh membawa mudarat yang besar. Jepun mengharapkan Amerika Syarikat sebagai
wakil tunggalnya untuk berperang atau membantu Jepun yang serba serbi
kekurangan aset ketenteraan. Sikap kebergantungan ini membawa padah jika Jepun
mempunyai polisi yang berlawanan dengan negara yang membantunya, oleh kerana
itu, Jepun harus menjadi ‘pak turut’ Amerika bagi mengelakkan hilangnya potensi
pertahanan itu. Di sini, kebanyakkan rakyat Jepun ingin membuat semakan semula
terhadap Artikel 9, semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat Jepun makin
meningkat jika dilihat pada tinjauan yang dijalankan di antara tahun 2015
hingga tahun 2017.

Antara sebab perlunya penggubalan Artikel 9 adalah kerana Jepun ingin
memiliki fungsi yang lebih luas dalam operasi keamanan yang dianjurkan oleh PBB.
Selain itu, dalam konteks geopolitik pula, ancaman Korea Utara dan juga China
dalam meluaskan kuasa di Asia Tenggara telah mengancam Jepun secara langsung. Keagresifan yang ditunjukkan oleh dua buah
negara ini telah memberi tekanan yang besar terhadap Jepun
terhadap ancaman
yang bakal lahir dari sikap ‘expansionist
China di Laut China Selatan dan ‘militarist
Korea Utara yang baru-baru ini melancarkan misil ICBM(inter-continental ballistic
missile
) melepasi sempadan Jepun. Ketegangan ini terjadi kerana Jepun tidak
mempunyai imbangan yang sepatutnya dimiliki. 
Jika dilihat dari segi ‘balance of
power
’, Jepun akan ketinggalan kerana pusat kuasa ketenteraannya dikawal
oleh Amerika Syarikat.

Gambar 7: Kartun mamaparkan tindakan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe cuba meletakkan agenda nasionalisnya ke dalam Perlembagaan Jepun yang bersifat pasifis. Sumber gambar: https://www.globalresearch.ca/japans-snap-elections-and-prime-minister-abes-hawkish-strategy-toward-north-korea/5614945

Dari kaca mata Realism, kekurangan
ini mampu membahayakan Jepun sepertimana ketika Perang Dunia Kedua yang meletus
akibat kebangkitan Nazi Jerman yang disebabkan oleh sikap ‘pacifist’ United Kingdom dan Perancis yang baru sahaja melalui
Perang Dunia Pertama.

Para sarjana Realist telah menekankan
idea bahawa negara-negara seluruh dunia sedang bersaing antara satu sama lain
untuk dapatkan kuasa melalui pelbagai cara termasuklah menakluki atau
mendominasi negara-negara lain. Selain itu, jika dilihat melalui kaca mata
seorang Neorealist seperti John
Mearsheimer, beliau berhujah bahawa negara-negara yang ingin menjamin
keselamatan sekaligus meningkatkan sekuritinya akan mendominasi negara-negara
lain. Ini juga mungkin bermaksud negara-negara yang lemah akan mudah dibuli
oleh negara yang lebih agresif yang ingin mencapai objektif itu. Oleh kerana
itu, negara Jepun dalam scenario ini, sedang mencari jalan untuk mengelakkan
diri mereka daripada menjadi mangsa buli negara-negara besar seperti China.

Mengikut undian yang dijalankan oleh
Japanese Broadcasting Corporation
(NHK), sebanyak 87 peratus yang menyokong
bahawa perlunya hak status ketenteraan Japan
Self Defence Force
dikembalikan. Titik kelemahan Artikel 9 terletak pada
status Jepun yang hanya bersifat ‘pertahanan kolektif’ di mana Jepun tidak
berupaya untuk menyerang atau menyertai operasi ofensif jikalau mereka diancam
atau ingin membantu operasi memerangi keganasan yang global. Kematian
mengerikan bagi dua orang wartawan Jepun di tangan kumpulan radikal ISIS telah
membuka mata sesetengah rakyat Jepun untuk menggubal Artikel 9 yang dilihat
akan membebankan Jepun pada masa akan datang. Tambahan pula, ketidakpastian bagi
kepimpinan di Amerika Syarikat akan berubah dari masa ke masa akibat perubahan
polisi luar negeri ataupun pilihanraya. Hal ini akan membuatkan Jepun terikat
dengan sebarang perubahan yang berkemungkinan besar bakal merugikan Jepun.

Walau bagaimanapun, sesetengah penduduk Jepun percaya bahawa Artikel 9
tidak perlu diubah kerana ianya berkait rapan dengan sifat normalisasi Jepun
ataupun ‘the normal Japan’. Tindakan
PM Jepun, Shinzo Abe dalam melaksanakan dasar-dasar nasionalis serta
perancangan untuk mengkaji semula Artikel 9 telah memarakkan kemarahan ramai
penduduk Jepun yang berpendapat tindakannya berlawanan dengan arus yang dibawa
oleh Jepun yang normal. Dari segi sektor pendidikan, buku teks telah
diperbaharui dengan memadamkan fakta-fakta kekejaman Jepun ketika Perang Dunia
Kedua. Umum mengetahui bahawa dari segi pendidikanlah kita mampu memacu masa
hadapan masyarakat yang bakal membentuk sesuatu pegangan ideologi atau naratif.
Sikap ‘revisionist’ Abe tidak disukai
kerana ianya dilihat sebagai menukar perspektif Jepun yang sediakala.


Gambar 8: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe (kiri) bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kanan). Sumber gambar: https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Shinz%C5%8D_Abe_and_Donald_Trump_(3).jpg

Propaganda yang memaparkan perspektif ‘pacifist
dari pasca Perang Dunia Kedua telahpun disebati dalam masyarakat Jepun. Selain
itu, terdapat pertembungan ideologi dua jurang umur yang berbeza di mana
masyarakat Jepun yang muda melihat ancaman-ancaman terhadap Jepun merupakan
satu realiti yang tidak dapat dielakkan. Maka, perlunya Jepun berdikari untuk
memiliki kemampuan ketenteraan. Sebaliknya, golongan berumur dan warga emas
kebanyakkanya tidak bersetuju di atas sebab sejarah hitam Jepun yang melanda
ketika Perang Dunia Kedua. Kekejaman Jepun di Nangking tidak dilupakan sama
sekali oleh jiran seberangnya. Maka mereka merasakan bahawa perubahan polisi
sedia ada mampu menggugat keamanan sejagat di Asia dengan mengapi-apikan
kemarahan Beijing dan Pyongyang.

Jadi dalam fenomena ini boleh disimpulkan bahawa golongan berumur ini
sedang mencari jalan melalui kaca mata liberalism
atau neoliberal yang menekankan
kerjasama antarabangsa untuk mengelakkan konflik. Manakala golongan muda sedang
melihat melalui kaca mata realism
yang berpandangan bahawa ancaman yang ditunjukkan oleh Korea Utara dan China
tidak boleh diendahkan dan sedang berada di pintu depan Jepun. Oleh kerana itu,
golongan muda ini sedang mengaplikasikan idea neorealism untuk menjamin kepentingan dan keselamatan negara Jepun.

Hakikatnya, perubahan polisi Jepun telah menyatakan secara jelas bahawa
kajian semula itu adalah sebagai ‘deterrence
dan ianya mampu mengurangkan ketegangan yang berlaku di rantau ini serta
mengekalkan ‘balance of power’. Kebanyakkan
masyarakat Jepun nampaknya lebih percaya dalam penyusunan semula serta
pemindaan Artikel 9 dalam Perlembagaan. Untuk mengekalkan hak Perlembagaan,
keraguan yang kuat mengenai tafsiran kerajaan Jepun mengenai Artikel 9 mesti
diolah secara lebih baik dan diperhalusi dengan menjelaskan peranan Jepun
secara menyeluruh dalam memiliki keupayaan tentera untuk mendapat kepercayaan
rakyat. Walaupun terdapat beberapa tentangan daripada rakyat Jepun tentang
cadangan penggubalan, realitinya, lambat-laun Artikel 9 akan dipinda bagi
mengekalkan kedaulatan Jepun di era kemuncak China yang sedang giat meluaskan
pengaruh kuasanya di Asia Tenggara. Jepun tidak mampu untuk menjadi ‘pacifist’ selamanya kerana dunia yang
ada masa kini lebih mencabar serta kompleks di mana perubahan drastik
diperlukan untuk menangani masalah-masalah yang mendatang. Dari perspektif
seorang Classical Realist, naluri
manusia adalah diibaratkan sama seperti sebuah negara, ketika ianya beremosi,
negara juga turut serta mengalaminya dari segi peperangan atau konflik.

Adalah tidak mampu bagi kita untuk mengagak naluri manusia seperti amarah
dan ini juga serupa seperti sesebuah negara. Justeru, pendekatan ‘pacifist’ dalam konteks moden perlu
diolah semula kerana ianya seakan-akan meletakkan kepercayaan terhadap sesuatu
emosi yang berubah-berubah serta tidak dapat dikawal, dan seterusnya
mencampakkan sebuah negara kearah kebinasaan.

Kesimpulan

Perbahasan tentang Liberalism dan Realism telah berlanjutan untuk hampir
seabad. Perbahasan dan perbincangan tentang dua-dua pemikiran ini menjadi
hangat dan popular semasa The Third
Debate
di mana para pemikir dan para sarjana telah mencari objectivity dalam politik global. Realists mengkritik pendekatan pasifis
dan berpendapat bahawa perang dan konflik serata dunia tidak boleh dielakkan
tetapi boleh dikawal dan diawasi. Walaupun wujudnya organisasi global seperti
PBB, Realists masih berpendapat ia
tidak mampu menghalang konflik atau mencipta dunia yang pasifis kerana wujudnya
masalah ketidakpercayaan dalam kalangan negara-negara dunia. Bagi Liberals pula, mereka berpendapat bahawa
peperangan boleh dihalang melalui reformasi pendidikan, perdagangan bebas,
kebajikan, dan demokrasi. Namun, begitu persoalan tentang sama ada sebuah dunia
yang pasifis relevan atau tidak, merupakan satu persoalan yang sehingga kini
tidak menemui titik noktah. Kedua-dua sarjana Realisme dan Liberalisme sendiri
mengakui bahawa terdapat wujudnya konflik dan akan wujudnya konflik, namun
pendekatan mereka terhadap bagaimana untuk mengawal atau menamatkan konflik ini
amat berbeza seperti yang telah ditulis. Pendapat dua-dua pemikiran ini saling
bercanggah dalam Hubungan Antarabangsa sehingga kini dan para sarjana haruslah
mengambil pendekatan yang berbeza apabila menganalisa sesuatu isu.

Rujukan

Forde, S. (1995) ‘International
Realism and the Science of Politics: Thucydides, Machiavelli, and Neorealism’ Blackwell [online] 39 (2), 141-160.
available from <www.jstor.org> [30 October
2018]

Hinde, R. and Rotblat, J.
(2003). War No More: Eliminating Conflict in the Nuclear Age. London:
Pluto Press, pp. 102-4 and 135-44. Available from: (https://ebookcentral.proquest.com/lib/nottingham/detail.action?docID=3386259).

Lieber, K.A. (2009) War, Peace, and International Political Realism:
Perspectives from The Review of Politics
. Indiana: University of
Notre Dame Press

Mapel, D.R. (1996) ‘Realism
and the Ethics of War and Peace’. in The
Ethics of War and Peace: Diverse Religions and Secular Perspectives.
ed. by
Nardin, T. New Jersey: Princeton University Press

Mansbach, R.W. and Taylor,
K.L. (2018) Introduction to Global
Politics.
3rd edn. Routledge: New York

Wong, A.R. (2017) Falsafah Politik Liberal [online]
available from <https://www.thepatriots.asia/4302/> [29 October
2018]

Bibliografi

Al-Jazeera
English (2017). Will Abe Change Japan’s Pacifist Constitution? – Inside
Story
. Available at: https://www.youtube.com/watch?v=sRPXtlI8EbY
[Accessed 2 Aug. 2018].

Burrett, T.
(2018). Japan’s pacifism in peril, again. [online] New
Internationalist. Available at:
https://newint.org/sections/agenda/2017/07/01/japan-pacifism [Accessed 7 Aug.
2018].

Japan: Article 9
of The Constitution
. [Accessed 9 Aug. 2018].

NHK Broadcasting
Culture Research Institute (2016). Kansuru Ishiki Chosa Kara [Pros and
Cons Evenly Matched on Constitutional Revision]
. [online] Tokyo: Public
Opinion Research Division. Available at:
https://www.nhk.or.jp/bunken/english/reports/pdf/report_16010801.pdf [Accessed
10 Aug. 2018].

Vox (2017). Japan’s
Rising Right-Wing Nationalism
. Available at:
https://www.youtube.com/watch?v=IHJsoCAREsg [Accessed 12 Aug. 2018].

Moseley, A. (2002). Philosophy
of War.
Algora Publishing, pp. 70. ProQuest Ebook Central. Available from:
(https://ebookcentral.proquest.com/lib/nottingham/detail.action?docID=318641.)

The National Academy of
Engineering, (2013). Harnessing Operational Systems Engineering to Support
Peacebuilding: Report of a Workshop by the National Academy of Engineering and
United States Institute of Peace Roundtable on Technology, Science, and
Peacebuilding
. Washington, DC: The National Academies Press, pp. 9-22,
41-6. [Online source] Available from: (https://www.nap.edu/catalog/18598/harnessing-operational-systems-engineering-to-support-peacebuilding-report-of-a)

Vasquez, J. A. (2009). The War
Puzzle Revisited. Cambridge University Press, ProQuest Ebook Central, pp..
Available from: (https://ebookcentral.proquest.com/lib/nottingham/detail.action?docID=452039)

Rosen, S. P. and Rosen, S. P.
P. (2005). War and Human Nature. Princeton University Press, pp. 8. ProQuest
Ebook Central. Available from: (https://ebookcentral.proquest.com/lib/nottingham/detail.action?docID=457897)

Sumber : ThePatriots