Bekas Menteri Law Hieng Ding Meninggal Dunia

Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Tan Sri Law Hieng Ding meninggal dunia sejurus sebelum jam 5 pagi tadi pada hari Krismas ketika berusia 83 tahun.

“Kita kehilangan anak watan Sarawak yang terbilang yang berkhidmat dan menabur bakti untuk Sarawak dalam Kabinet Malaysia,” kata presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian.

Beliau menyifatkan bekas anggota parlimen Sarikei itu, yang menyandang jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dari 1990 hingga 2004, sebagai anggota dan pemimpin SUPP yang setia.

Law juga pernah menjadi timbalan presiden SUPP.

Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri  menyatakan beliau sempat bertemu Law semasa acara Lan Berambeh di Kuala Lumpur pada Oktober lepas.

“Walaupun menghadapi kesulitan untuk bercakap, beliau masih mengambil berat tentang kami,” kata beliau.

Sim berkata beliau bersedih kerana tidak dapat memenuhi misi untuk Law ketika masih hidup iaitu menamakan sebatang jalan di Sarikei sempena mengambil  nama mendiang bagi menghargai khidmat beliau sebagai anggota Parlimen Sarikei dari 1982 hingga 2008.

Mendiang meninggalkan isteri Puan Sri Ngui Soon Leng dan tiga orang anak (Dr Eric Law, Dr Michael Law, dan anak perempuanr Dr Sabrina Law).

— BERNAMA

Sumber : SiakapKeli