Kaca Mata AR Di Masa Hadapan Akan Menggunakan Paparan MicroLED

Kaca mata AR atau kaca mata realiti terimbuh dilihat akan menjadi trend untuk banyak syarikat untuk menghasilkannya. Kita sudah tahu Apple semakin serius dalam menghasilkan kaca mata AR tersendiri selepas mengambil-alih Akonia Holographics, Huawei pula dikatakan akan hadir dengan kaca mata AR pada tahun 2020, Facebook juga dilihat sedang membangunkan kaca mata AR tersendiri dan butiran mengenai Google Glass baharu telah muncul di laman Geekbench.

Tetapi, bagaimana kaca mata AR ini akan dihasilkan? Lebih-lebih lagi skrin pada kaca mata ini, dengan jarak yang dekat kepada mata manusia – tidakkah ia akan mendatangkan keburukan? Menurut laporan baru, kaca mata AR di masa hadapan kelak akan menggunakan paparan microLED. Penggunaan paparan ini akan menjadi trend akan datang. Sebelum ini, kaca mata AR atau kaca mata pintar dilihat telah menggunakan paparan jenis Liquid Crystal on Silicon (LCoS) iaitu pada Google Glass dan juga pancaran laser yang mungkin tidak lagi akan digunakan kerana bimbang akan membawa masalah.

MicroLED dikatakan adalah pencabar untuk paparan AMOLED. Ini kerana, microLED mempunyai latensi yang lebih rendah, kontras yang lebih tinggi, 30 kali lebih cerah dan jangka hayat yang lebih lama. Akan tetapi, banyak pengeluar bimbang dengan teknologi ini. Pada acara CES sebelum ini, Samsung pernah memperlihatkan microLED dan menurut mereka ia agak mahal untuk hasilkan. Apple pula dilihat telah mula menghasilkan paparan ini tetapi hampir mengalah pada tahun lepas.

Jika Apple berjaya, menurut laporan tahun 2o19 adalah tahun di mana Apple akan mula memperlihatkan teknologi microLED ini. Jika Apple perlihatkan, pasti pengeluar lain akan ikuti Apple – kerana itulah hakikat dunia teknologi. Tidak sah jika apa yang Apple hasilkan, pengeluar lain tidak ikuti.

Sumber : Amanz