Jam Tangan Pintar Samsung Baharu Akan Kekal Dengan Tizen Dengan Integrasi Bixby Yang Lebih Mendalam

Wear OS adalah sistem operasi untuk jam tangan pintar yang banyak pengeluar gunakan, watchOS pula adalah yang digunakan Apple pada Apple Watch dan Tizen pula adalah sistem operasi untuk jam tangan pintar mereka. Tahukah anda, yang Samsung pernah uji Wear OS untuk jam tangan pintar mereka dan dikatakan itu adalah sistem operasi baharu untuk jam tangan pintar mereka.

Tetapi, pada pelancaran Galaxy Watch – Samsung dilihat kekal menggunakan Tizen dan tiada langsung petanda mengenai Galaxy Watch dengan Wear OS. Terkini, laporan mengatakan jam tangan pintar Samsung yang akan datang turut akan kekal dengan Tizen. Cuma kali ini, ia akan mempunyai integrasi Bixby yang lebih mendalam. Bixby adalah pembantu maya tersendiri Samsung dan dengan integrasi Bixby pada jam tangan pintar Samsung ini – pengguna mungkin akan lebih banyak menggunakan Bixby dan bukan pembantu maya lain.

Menurut SamMobile, jam tangan pintar baru ini adalah siri Sport mereka dan mungkin akan dinamakan Galaxy Sport. Samsung Gear Sport adalah jam tangan pintar terakhir mereka dengan penjenamaan Gear. Jadi, dengan nama Galaxy Sport ia akan lebih selari dengan produk-produk Samsung Galaxy yang lain. SamMobile mengatakan model untuk jam tangan ini adalah SM-R500 dan kod namanya adalah Pulse. Versi Tizen pada Pulse ini adalah R500XXE0ARL5. Tambahan SamMobile lagi, integrasi Bixby ini adalah pada Bixby Reminder. Ia adalah untuk memberi notifikasi seperti mula bersenam atau memperingatkan lokasi parkir kereta.

Tidak dinafikan, selepas jam tangan pintar ini dilancarkan – Galaxy Watch dengan Tizen yang sekarang akan menerima kemaksini yang serupa. Apa-apa pun sama-sama kita nantikan.

Sumber : Amanz