Anwar Bertemu Erdogan Selepas Pembedahan Di Turki

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikejarkan ke hospital bulan lalu telah selamat menjalani pembedahan tulang belakang di sebuah hospital di Turki.

“Alhamdulillah, kesihatan beransur baik usai pembedahan tersebut dan saya dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada hari Khamis di bahagian bahu kanan rentetan kecederaan kaf rotator,” katanya dalam catatan Facebook.

Pada 23 Jun lalu, Anwar dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas mengadu sakit bahu dan belakang badan, susulan kecederaan yang sama dihadapi ketika beliau masih di penjara. Sementara itu, Anwar berkata beliau dikunjungi presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan isterinya selepas menjalani pembedahan.

“Kunjungan mereka amat saya hargai meski waktu mereka terbatas dek kesibukan mengurus kemenangan pilihan raya,” katanya.

Menurut Anwar, beliau menitipkan salam dan ucapan tahniah dari Yang Dipertuan Agong dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kemenangan bergaya parti pimpinan Erdogan, AK Parti dalam pilihan raya Turki 24 Jun lepas.

“Pastinya kemenangan tersebut akan terus memberi nilai tambah kepada suburnya demokrasi dalam dunia Islam kontemporari,” ujarnya yang turut menyampaikan hasrat Malaysia untuk memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.

Pada 24 Jun lalu, Erdogan diumum mendapat undi majoriti daripada semua kertas undi bagi pilihan raya presiden. Erdogan memenangi 52.5 peratus undi manakala pencabar utamanya, Muharrem Ince hanya meraih 31.7 peratus undi.

Sumber :

MalaysiaKini