JKM Beri Kaunseling Pada Kanak-kanak Dan Keluarga Kahwin Bawah Umur

Maklumat terkini diperoleh daripada ibu kandung kanak-kanak perempuan dikaitkan dengan kes perkahwinan bawah umur di Kelantan, menunjukkan mereka kini berada di Kota Bharu dan sedang menunggu pihak berkuasa Thailand membuat urusan bagi membawa mereka sekeluarga pulang ke negara berkenaan.

Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini, tujuan dan jangka masa mereka akan berada di Thailand masih tidak diketahui.

“Namun, mereka dijangka dibawa pulang oleh pihak berkuasa Thailand ke Malaysia dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.

Perkahwinan itu mendapat perhatian kerana kanak-kanak warga Thailand itu dilaporkan menjadi isteri ketiga kepada seorang peraih getah warga tempatan berusia 41 tahun.

Kenyataan itu seterusnya menyebut pakar kesihatan kanak-kanak Hospital Kuala Krai turut mengesahkan hasil pemeriksaan ke atas kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu mendapati tiada sebarang tanda mencurigakan atau menunjukkan kanak-kanak itu pernah didera atau dicederakan.

Pemeriksaan kesihatan itu dilakukan pada 4 Julai lalu, kata kementerian itu sambil menambah laporan penuh berhubung pemeriksaan berkenaan masih belum dikeluarkan.
Kenyataan itu berkata, KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah membuat lawatan ke rumah dan setakat ini khidmat kaunseling diberi dua kali kepada kanak-kanak itu dan keluarganya.

Ia menegaskan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail amat prihatin dengan isu berkenaan.

“Beliau (Dr Wan Azizah) juga akan memastikan JKM akan terus membuat pemantauan bagi memastikan isu ini ditangani oleh kerajaan dengan sebaik-baiknya,” kata kenyataan itu.

Sumber :

MalaysiaKini