Kahwin budak 11 tahun, peraih getah didenda RM1,800

Che Mohd Karim Che Hamid, 41, yang berkahwin dengan budak perempuan berusia 11 tahun dikenakan hukuman denda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang kerana berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran, lapor Berita Harian.

Hakim Mohd Surbaineey Hussain mengenakan hukuman itu terhadap peraih getah sebanyak RM900 bagi setiap pertuduhan selepas beliau membuat pengakuan bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Che Mohd Karim dituduh mengikut Seksyen 19 dan Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (No 6) 2002 Negeri Kelantan yang kedua-duanya memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara dua bulan.

Che Mohd Karim yang hadir dengan memakai kopiah hitam itu terdahulu kelihatan gelisah apabila kedua-dua pertuduhan itu dibaca terhadapnya di hadapan Mohd Surbaineey.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa berkahwin tanpa kebenaran mengikut Seksyen 19 Enakmen berkenaan dan dihukum denda RM900.

Bagi tuduhan kedua pula, Che Mohd Karim didakwa kerana berpoligami tanpa kebenaran mengikut Seksyen 124 enakmen yang sama dan dikenakan hukuman denda berjumlah RM900.

Sebelum ini, pernikahan Che Mohd Karim dengan kanak-kanak perempuan itu mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial yang rata-rata meminta pihak jabatan agama dan kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan.

Bagaimanapun, Che Mohd Karim menegaskan dia tidak melakukan sebarang kesalahan dari segi agama Islam. Tambahan pula, dia sudah berjanji dengan ibu bapa kanak-kanak terbabit bahawa dia hanya akan mengambil kanak-kanak itu sebaik saja dia berusia 16 tahun.

Sumber :

TheReporter