KPDNHEP Sedang Teliti Turunkan Harga Beberapa Jenis Barang

Penurunan harga barang antara agenda utama yang diberi perhatian serius oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas kerajaan memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Seiring iltizam itu, menterinya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian itu kini sedang meneliti untuk menurunkan harga beberapa jenis barang daripada 22 barangan kawalan.

“KPDNHEP sedang meneliti beberapa harga barang kawalan utama, di mana terdapat beberapa barang keperluan yang mempunyai ruang untuk diumumkan penurunan harga.

“Bagaimanapun ia akan diumumkan selepas pertemuan dengan mereka yang terlibat terlebih dahulu,” katanya dalam temubual bersama Malaysiakini baru-baru ini.

Antara bahan makanan yang dikategorikan dalam 22 jenis barangan kawalan ialah gula, garam, minyak masak, susu dan tepung gandum. Saifuddin berkata demikian ketika ditanya sejauh mana KPDNHEP dapat melaksanakan manifesto Pakatan Harapan dalam meringankan beban rakyat.

Beliau yang dilantik ke jawatan itu Selasa lalu, berkata kenaikan kos sara hidup bukan berpunca akibat kenaikan harga barang semata-mata. Sebaliknya, Saifuddin berkata terdapat enam faktor lain yang menyumbang kepada beban hidup rakyat.

“Kos sara hidup melibatkan perumahan, pendidikan, pengangkutan, utiliti, makanan dan kesihatan. Sekurang-kuranganya ada enam bahagian yang sebenarnya melonjakkan kos kehidupan.

“Apa yang kita katakan sebelum ini seperti GST, SST baru satu juzuk (dalam menyelesaikan isu kos sara hidup),” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata KPDNHEP akan meneliti keperluan untuk meneruskan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) atau diberi penjenamaan semula.
Keputusan mengenai perkara itu, katanya akan diberitahu dalam tempoh terdekat.

“Tidak ada arahan untuk kedai itu (KR1M) ditutup, isunya cuma adakah kita mahu ia diteruskan atau sebaliknya (dijenamakan semula).

“Jadi, jika mahu ia disambung komitmen akan diteruskan dari segi koordinasi dan sebagainya. Buat masa ini kita belum buat apa-apa keputusan lagi sehingga saya dapat laporan penuh mengenainya,” katanya.

Sumber :

MalaysiaKini