Bayi Maut Disengat Obor-obor

Keseronokan satu keluarga beriadah di pantai bertukar menjadi tragedi apabila anak kecil mereka maut disengat obor-obor dalam kejadian dua hari lalu di Manila, Filipina, lapor The Summit Express.

Menurut ibu saudara mangsa, Rosemae Tomilloso Alegre, mangsa, Prince Gabriel Mabborang maut selepas disengat obor-obor.

Terdahulu, Grabriel dan keluarganya mandi-manda di Pantai Dalahican di Bandar Lucena, Quezon, sebelum mangsa disengat obor-obor dari spesis beracun, yang boleh menyebabkan mangsa yang disengatnya hilang nyawa terutamanya kanak-kanak.

Gabriel, 1 tahun 6 bulan disengat di bahagian paha, dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Malangnya, doktor mengesahkan Gabriel telah pun meninggal dunia.

Sedih dan terkilan dengan kejadian yang tidak disangkakan itu, keluarga mangsa menyalahkan pihak berkuasa yang didakwa tidak meletakkan papan tanda amaran atau larangan berenang di pantai itu. Lebih mengecewakan lagi ialah apabila mereka mendapati Gabriel bukan mangsa pertama yang maut disengat obor-obor di pantai itu.

Rosemae berkata, selepas selesai menguruskan pengebumian Gabriel, mereka datang semula ke pantai itu untuk memeriksa kawasan tersebut dan hasilnya mereka berjaya menemui beberapa ekor bangkai obor-obor. Dengan penemuan itu jelas sekali menunjukkan bahawa pantai itu agak berbahaya untuk dikunjungi oleh orang awam. Rosemae juga memberi peringatan kepada netizen dia media sosial untuk tidak melakukan sebarang aktiviti di pantai tersebut, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku lagi.

Bagaimanapun, masih ramai yang tidak mengendahkan amaran tersebut dan menerukan aktiviti seperti biasa di pantai itu.

Untuk mengelakkan diri dari disengat obor-obor, adalah digalakkan untuk memakai pakaian renang seperti pakaian renang scuba atau yang seumpama dengannya.

Obor-obor bersifat lutsinar dan agak sukar dilihat apabila ia berada di dalam air. Pastikan anda dan anak-anak sentiasa berjaga-jaga. Tidak lupa juga, bawa sebotol cuka sebagai langkah keselamatan. Jika anda disengat obor-obor, tuangkan cuka itu di bahagian yang disengat sebelum pergi ke hospital dengan segera (terutamanya kanak-kanak kecil).-TR