Menteri Czech Letak Jawatan Kerana Dituduh Meniru Tesis

Menteri Kehakiman Czech, Tatana Mala telah meletak jawatan hanya selepas 13 hari dilantik susulan dakwaan bahawa beliau memplagiat sebahagian daripada tesis universitinya, lapor agensi berita China Xinhua.

Mala, 36, yang mengumumkan peletakan jawatan itu pada petang Isnin, bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak bersalah dan dakwaan plagiarisme itu hanyalah satu kempen terhadapnya.

Radio Czech melaporkan minggu lepas bahawa tesis Mala mengandungi petikan yang tidak diisytihar daripada tugasan seorang pelajar yang telah disiarkan. Sebagai contoh, beliau malah menyalin teks asli bersama dengan dua kesilapan menaip.

Bagaimanapun, Mala berkata peletakan jawatan beliau adalah bagi melindungi parti pemerintah ANO dan kerajaan yang mula tumbuh. Perdana Menteri Republik Czech, Andrej Babis, berkata kepimpinan parti ANO percaya bahawa Mala tidak melakukan penipuan itu, namun menerima peletakan jawatan beliau.

Babis akan meminta Presiden Milos Zeman mengamanahkan portfolio kehakiman kepada beliau buat masa ini. Peletakan jawatan Mala telah dituntut oleh pembangkang dan juga satu petisyen secara atas talian.

Sumber :

MalaysiaKini