Nur Aisyah Masih Trauma

Nur Aisyah Hasmizan, 17 bulan, ditemui dalam semak tidak jauh dari rumah keluarganya, selepas dilaporkan hilang hampir 15 jam sejak dari awal pagi semalam. Ketika ditemui, terdapat kesan bengkak di bahagian muka mangsa akibat digigit semut kerengga sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan.

Walaupun Nur Aisyah dilaporkan sudah stabil, namun menurut ibunya, Siti Noorfadilah Yusofe berkata, anak bongsunya itu masih dalam keadaan trauma.

“Tangisan yang paling sukar didengari, tangisan seorang anak kesakitan. Ampunkan Mama tak jaga Aisyah dengan sempurna selama ini.

“Kepada semua, mohon terus berdoa untuk Aisyah kembali sihat. Beliau masih dalam trauma,” tulis ibunya di Facebook.

Terdahulu, Siti mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada warga Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu mencari anaknya.

“Alhamdulillah Aisyah selamat walaupun muka beliau teruk. Tak apa, kita boleh rawat ya sayang, nanti Aisyah comel semula.

“Kepada warga Malaysia, terima kasih di atas doa kalian. terima kasih sangat-sangat untuk PDRM dari semua unit di ata segala tindakan anda.

“Saya tidak sempat membalas semua komen dari anda kerana terlalu banyak. Terima kasih kepada semua yang membantu,” tulisnya pada jam awal pagi tadi.

Menjawab pelbagai persoalan netizen bagaimana kejadian itu boleh berlaku, Siti berkata, mereka tidak menjangka dan apatah lagi meminta kejadian itu terjadi pada mereka. Selain meminta semua pihak bersabar dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kejadian itu, Siti juga menyeru netizen tidak mudah menghukum mereka tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

“Yes, saya sebagai ibu Aisyah pun tak dapat beri kenyataan lebih. Kita serahkan kepada pihak polis, mereka lebih layak jalankan tugas. Percayalah, saya, suami dan keluarga sangat terkesan dengan kejadian ini. Tapi siapa kita untuk melawan takdir?

“Saya tak pinta kejadian seperti ini berlaku. Anak-anak saya, nyawa saya. Janganlah hukum sebarangan dan janganlah membawang sebarangan.

“Untuk menjawab soalan pakcik makcik halia, ya kami sememangnya dah kunci pintu. Kenapa tak sedar ketika orang masuk rumah dan anak kena ambil? Saya tidur jam 3 pagi, sepanjang bulan puasa saya jarang tidur. Normal tidur selepas subuh dan sebelum kejadian saya keletihan dengan urusan kerja. Jadi mungkin saya benar-benar letih sehingga beliau mengambil Aisyah pun saya tak sedar. Yes, saya amat menyesal tidur pada hari kejadian.

“Saya dan suami tidak bergaduh dan saya hanya ada seorang suami sahaja, tiada istilah EX suami bagai. Dia suami saya sejak 12 tahun lepas dan dia kekasih hati saya sejak 15 tahun lepas.

“Saya/suami suspek utama? Hanya tuhan sahaja tahu betapa sayangnya kami kepada anak-anak kecil. Jika bukan anak saya pun, saya akan menangis kerana melibatkan seorang kanak-kanak. Kami adalah pencinta kanak-kanak, bukan pendera kanak-kanak.

“Semoga dengan post ini buat anda berpuas hati dan nak tahu lebih lanjut, boleh pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan bertanya dengan polis yang bertugas. Jika anda rasa anda hebat berspekulasi, boleh suarakan kehebatan anda kepada pihak polis,” tulis Siti.

Semalam, seorang lelaki warganegara Nepal berumur 25 tahun ditahan dan turut ditemui bersama dengannya sebuah telefon bimbit milik keluarga berkenaan yang dilaporkan hilang pada hari kejadian.

Siasatan awal terhadap suspek yang kemudian membawa pihak polis ke sebuah lokasi yang jaraknya lebih kurang satu kilomter dari rumah ahli keluarga Nur Aisyah, membawa kepada penemuan bayi perempuan itu. –TR