PMO Halang Cubaan Menteri Beri Ganjaran Kepada Penyokong

Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah menghalang percubaan beberapa menteri untuk “memberi ganjaran” kepada penyokong politik mereka dengan menawarkan mereka jawatan tertentu, lapor akhbar The Star hari ini. Menurut laporan itu, tindakan berkenaan, selain bercanggah dengan langkah-langkah penjimatan kerajaan, juga tidak mematuhi pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dikeluarkan pada 2012.

Adalah dilaporkan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengeluarkan pekeliling kepada semua menteri dan timbalan sebagai peringatan bahawa semua gaji kakitangan yang dilantik oleh mereka mesti selaras dengan dokumen 2012 itu. Bagaimanapun, sumber kerajaan memberitahu akhbar itu bahawa ada seorang menteri memaklumkan kepada pegawai kementeriannya bahawa beliau mahu melantik sekurang-kurangnya enam orang pegawai khas.

“Beliau memberitahu pegawai-pegawai bahawa para penyokongnya perlu diberi ganjaran selepas pilihan raya umum.

“Katanya, jika kementerian tidak mampu membayar gaji pegawai-pegawai khas itu, agensi-agensi di bawah kementerian berkenaan boleh berbuat demikian.

“Beliau walau bagaimanapun dinasihatkan tidak berbuat demikian kerana ia melanggar peraturan,” kata sumber kerajaan yang lain.

Seorang lagi menteri dilaporkan mengarahkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membayar gaji pembantu khasnya, tetapi rancangan tersebut tidak menjadi kenyataan selepas PMO mengetahu mengenainya.

Terdapat juga kes seorang lelaki yang menelefon seorang pegawai sebuah kementerian dan mendakwa dia akan masuk sebagai pegawai khas kepada seorang menteri yang mengangkat sumpah jawatan pada Isnin lalu. Dia juga memberitahu dirinya akan membawa beberapa orang lagi untuk berkhidmat sebagai pegawai khas menteri berkenaan. Seorang pegawai memberitahu akhbar itu: “Bukan menteri itu yang saya bimbangkan, tetapi orang yang dilantiknya. Saya tidak pasti di mana kementerian akan memperoleh wang untuk membayar mereka tetapi pasti agensi di bawah kementerian akan diminta untuk berbuat demikian.”

Beliau menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai “tidak masuk akal dan mengarutl” dan berkata amalan sedemikian hanya mengulangi apa yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu. Pekeliling JPA menyatakan bahawa seorang menteri hanya boleh mengambil seorang pegawai tugas khas, seprang setiausaha sulit dan seorang setiausaha akhbar, selain kakitangan sokongan, manakala timbalan menteri boleh mempunyai sorang setiausaha sulit dan dua orang sebagai kakitangan sokongan.

Bagaimanapun, perdana menteri selepas mesyuarat kabinet pada 27 Jun, mengeluarkan pekeliling yang, antara lain, memutuskan bahawa seorang menteri boleh mempunyai dua pegawai tugas khas.

Sumber :

MalaysiaKini