Saya Harap Mereka Dapat Tarik Semula Laporan Polis Terhadap Anak Saya.

Itu rayuan Datin Hasnah Abd Rahman, ibu kepada pemuda autisme yang ditahan, baru-baru ini kerana didakwa mencabul kehormatan seorang gadis. Hasnah, 59, berkata segala proses perundangan yang perlu dilalui Ahmad Ziqri Morshidi, 22, dikhuatiri menjejaskan keadaan anaknya itu yang sehingga kini masih tidak menyedari situasi yang membelenggu dirinya.

Sebagai wanita, katanya, sudah pasti beliau memahami situasi gadis berkenaan, namun sebagai seorang ibu kepada anak autisme, Hasnah memohon Ahmad Ziqri turut diberikan keadilan sewajarnya.

“Sudah tentu saya harap laporan itu ditarik semula. Mana-mana ibu bapa kepada anak autisme sudah pasti mahu perkara seperti ini diselesaikan.”

“Saya harap sangat kes ini tidak berpanjangan sehingga ke mahkamah kerana Ziqri tidak mungkin mampu mengharunginya, apatah lagi dia tidak tahu bagaimana mahu mempertahankan diri,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Pada 11 September lalu, Ahmad Ziqri ditahan polis selepas laporan polis dibuat mangsa berusia 24 tahun, mendakwa pemuda autisme itu menyentuh dadanya. Insiden itu berlaku ketika Ahmad Ziqri bersama keluarganya keluar makan malam di Subang Jaya, sempena ulang tahun kelahiran pemuda berkenaan.

Sebelum kejadian, Ahmad Ziqri berlari keluar dari restoran dan masuk ke beberapa kedai berhampiran, sebelum bertindak menyentuh dada seorang gadis tanpa disedari ibunya. Kejadian itu tular di media sosial, termasuklah satu video memaparkan Ahmad Ziqri yang berpakaian lokap digari ketika Hasnah dilihat cuba menenangkan anaknya.

“Hati ibu mana yang tidak remuk melihat anaknya digari begitu,” katanya sambil mengakui insiden seumpamanya sudah banyak berlaku ke atas anak autisme lain, namun pihak yang menjadi mangsa tidak membuat laporan polis selepas memahami keadaan sebenar.

Selepas pulang dari lokap, Hasnah berkata, anaknya ada menunjukkan sedikit perubahan termasuk kembali kepada sikapnya lamanya apabila membuang hadiah hari lahir yang dibelinya. Katanya, keadaan boleh menjadi lebih buruk iaitu anaknya mungkin memecahkan barangan dalam rumah, namun bersyukur perkara itu tidak berlaku.

Ditanya mengenai tujuan kehadirannya bersama Ahmad Ziqri ke Balai Polis USJ8 Subang Jaya, hari ini, Hasnah berkata, mereka perlu memberi keterangan, namun anaknya hanya mampu menurunkan tanda tangan.

“Pihak yang menjadi mangsa juga ada di balai polis tadi, tapi kami tidak berkomunikasi kerana bimbang keadaan menjadi semakin rumit,” katanya yang bersyukur dengan sokongan pelbagai pihak diterimanya ketika ini.

Beliau berharap kejadian itu bakal membuka mata pihak berkuasa untuk memperbaharui prosedur operasi standard (SOP) ketika berdepan dengan individu seperti Ahmad Ziqri.

Sumber :

Harian Metro