UMNO Gesa Kerajaan Layan Penjawat Awam Pro BN Dengan Adil

UMNO hari ini menggesa pihak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghormati dan memberi layanan adil kepada penjawat awam yang menyokong kerajaan dahulu (Barisan Nasional). Menurut kenyataan Unit Komunikasi Strategik UMNO (UKSU) itu berkata, penjawat awam perlu diberi ‘kebebasan berpihak’ dengan menyokong siapa yang mereka mahu.

“Kami menggesa Kerajaan PH untuk menghormati hak-hak ini dan melayan perkhidmatan awam mereka secara adil,” kata kenyataan itu.

UKSU juga berkata, semasa Kerajaan Barisan Nasional mentadbir, mereka tahu ramai penjawat awam dan tentera menyokong pembangkang. Namun, mereka tidak dipaksa untuk menyokong parti pemerintah atau tidak menjadikan mereka mangsa kerana pendirian politik.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mempersoalkan kesetiaan penjawat awam yang berkempen untuk Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu. Turut mengeluarkan kenyataan yang hampir sama iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, yang mahu mengenal pasti pegawai kerajaan yang menyokong Barisan Nasional ketika PRU14. –TheReporter/ProjekMm