img

Bagaimana Melihat Dari Perspektif Pelanggan

April 9, 2018

Antara perkara terpenting bagi seseorang usahawan adalah apabila berkomunikasi dengan orang lain. Secara umum, kita akan membiarkan kita berkomunikasi secara automatik dan kita akan belajar dari kegagalan ini (namun ada ketika kita tidak pernah belajar).

Contohnya, apabila anda menghubungi seseorang pelanggan anda untuk mempromosikan perniagaan anda. Anda akan call dan terus bercakap seperti biasa. Contohnya “Hello, nama saya SJ, saya nak promosikan perniagaan saya iaitu… bla bla bla”

Kemudian anda akan cuba lagi dengan kaedah yang sama dengan pelanggan lain. Akhirnya jika 20% dari panggilan itu berjaya, anda akan cuba mengubah sedikit cara panggilan atau teruskan dengan cara biasa kerana anda sudah berpuashati dengan 20% ini.

Namun sebenarnya anda boleh meningkatkan keberkesanan panggilan ini jika anda lebih prihatin dan melihat dari kaca mata pelanggan. Maksud saya, anda boleh dapat keputusan positif yang lebih dari 20% jika anda berusaha.

Bagaimana ?

Tips utama adalah, jika anda ingin menghubungi seorang pelanggan untuk mempromosikan perniagaan anda. Anda perlu pandang dari aspek pelanggan tersebut dan bukan dari aspek anda.

Saya biasanya akan melakukan beberapa sesi dialog dalam kepala tentang bagaimana untuk bercakap dalam bahasa yang sama dengan pelanggan tersebut. Ini dilakukan sebelum membuat panggilan. (ini hanya memakan masa beberapa minit, lama-kelamaan anda akan melakukannya secara spontan)

Contohnya

Kaedah A : “Assalamualaikum, saya SJ dari syarikat xx, kami ingin menjual produk kami iaitu Pen Membaca Quran…”

Kaedah ini sama seperti apa yang dilakukan oleh salesman insuran atau kad kredit lain. Jadi pelanggan akan mengelak untuk bercakap lebih lanjut sebelum anda nyatakan apa perniagaan anda.

Kaedah B : “Assalamualaikum, saya SJ, saya dapat nombor ini dari Si A, kami nak jual Pen Membaca Quran yang terbaru di pasaran.”

Kaedah ini lebih baik daripada kaedah A, tetapi masih nampak seperti anda yang ingin pembeli membantu anda, bukan anda yang membantu pembeli.

Kaedah C : Assalamualaikum, saya SJ, saya ada produk yang akan menyelesaikan masalah pembacaan Al-Quran yang canggih dan terbaik di pasaran. Anda mungkin takkan percaya, ini adalah sebatang pen teknologi tinggi yang membantu anda membaca Quran.

Kaedah ketiga mungkin kaedah yang terbaik kerana ia akan menyebabkan pelanggan tertanya-tanya apakah produk ini. Dan anda juga menerangkan mengenai masalah yang diselesaikan dan nilai tambah yang diberi.

Apa yang saya cuba terangkan di sini adalah:-

1. Anda perlu melakukan satu mock-up persediaan A, B dan C seperti di atas tentang senario yang anda bakal hadapi. Setiap pelanggan adalah berbeza samada dari segi umur, kerjaya, bangsa, kewangan dan lain-lain. Jadi lebih tepat anda bercakap dengan mereka, lebih tinggi kebarangkalian anda untuk membuat jualan.

2. Anda perlu fokus kepada masalah yang akan dapat diselesaikan melalui produk anda. Setiap orang suka apabila masalah yang mereka ada diselesaikan. Dan fakta yang lebih seronok, semua orang ada masalah untuk diselesaikan.

3. Anda perlu fokus kepada nilai tambah yang akan diberikan oleh produk anda dalam hidup pembeli. Setiap yang hidup inginkan pembangunan atau nilai tambah dalam hidup mereka. Kebanyakan pembeli membeli produk untuk menjadi lebih baik dari apa yang mereka sedia ada. Kita beli telefon bimbit canggih untuk mendapat nilai tambah, kita membeli buku untuk mendapat nilai tambah, kita membeli kereta pun untuk mendapat nilai tambah.

Semakin hari anda melatih kaedah ini, anda akan melihat kejayaan jualan anda akan bertambah dan anda akan membuang perkara tidak perlu dalam apa yang anda cakap. Anda juga akan bercakap dengan bahasa yang betul mengikut kaca mata pelanggan anda.

Dengan tiga kaedah ini, anda akan melatih otak anda untuk berfungsi dengan baik terhadap pelanggan dan ini akan meningkatkan kebarangkalian kejayaan jualan anda.

Kaedah ini juga boleh digunakan untuk bercakap dengan orang yang selain dari pelanggan anda seperti apabila bercakap dengan boss, rakan sekerja, pembekal atau wartawan.

Ingat!

1. Buat mock-up dialog

2. Fokus untuk selesaikan masalah

3. Fokus untuk menambah nilai

Article Tags:
· ·
Article Categories:
Perniagaan · Tips

Comments are closed.