Awan hitam di Ramallah – Sajak

Awan hitam berarak deras
Berlari pantas meninggalkan bumi
Shatila dan Shubra
Kini menutupi bumi Ramallah
Tepi, barat gelap hitam dan pekat

Awan hitam berarak lagi
Bergerak cergas ditiup angin
Masjidil Aqsa kini singgah di Baitul Laham
Tompok-tompok hitam di Jenin

Di sinilah….. anak-anak berlari riang
Tawa dan girang
Tak mengerti apa-apa
Cuma menangis mahukan susu
Sekeping roti dan belaian ibu
Tapi….
Ayah dan ibu resah gelisah
Bimbang dan cemas
Cuma melihat awan hitam yang
Berarak deras menutupi bumi Ramallah

Datuk dan nenek dipapah
Ibu-ibu muda berbadan dua dipapah
Dan ada yang muntah-muntah keluar darah

Awan hitam semakin pekat dan gelap
Anak-anak muda berlari pantas
Mencapai ketul-ketul batu untuk membalas dendam
Poket mereka penuh batu leher mereka terlilit lastik getah
Tangan mereka mengenggam kayu

Tapi…..
Peluru musuh lebih deras
Cuma sesaat ribuan nyawa anak-anak
Isteri-isteri berbadan dua
Dan ibu-ibu tua terkorban

Dengan sekelip mata
Rumah mereka hancur berkecai
Kampung mereka jadi pertaruhan
Kini jadi padang jarak padang terkukur

Awan hitam berkumpul tidak bergerak
Tidak ada angin yang bertiup deras

Demi islam, demi tanah air yang tercinta
Tanpa senjata, tanpa makanan
Tanpa wang, tanpa sokongan kawan-kawan
Namun……
Mereka sanggup berkorban
Biarkan nyawa menjadi taruhan
Biarkan jasad menjadi ukuran
Asalkan maruah islam tidak tergadai
Asalkan Allah memberi pertolongan
Akhirat tempat balasan!

Oleh : Mohd Firdaus Hussin